Pada satu pagi pada 1986, bilik berita Utusan Melayu menerima panggilan dari pejabat menteri kesihatan yang memaklumkan beliau akan mengadakan sidang akhbar tergempar dalam masa beberapa jam lagi.
Sebagai pemberita di situ ketika itu, penulis ditugaskan membuat liputan. Ketika itu pejabat Kementerian Kesihatan terletak di Jalan Tugu (nama asalnya ialah Cenotaph Road) iaitu berhampiran Masjid Negara dan Bukit Aman. Menteri ketika itu Mak Hon Kam yang juga pemangku timbalan presiden MCA.
Jalan Tugu bernama sedemikian kerana sebelum Merdeka, batu peringatan peninggalan British yang dipanggil Cenotaph terletak di situ. Kini ia terletak di kawasan Tugu Negara.
Menjelang 1986, MCA dilanda krisis rebutan pucuk pimpinan. Mak Hon Kam yang merupakan naib presiden menyebelahi ketuanya, Neo Yee Pan berdepan Tan Koon Swan yang mencabar kepimpinan. Setelah kalah dalam krisis itu, Mak beserta kumpulan Neo mengambil alih Parti Progresif Rakyat (PPP). Beliau kemudian kembali ke MCA.
Bilik sidang akhbar itu penuh dengan para pemberita akhbar, radio dan televisyen dari dalam dan luar negara. Ternyata ia merupakan perkara besar kerana menteri mengumumkan kes AIDS yang pertama di Malaysia.
Beliau mengumumkan pesakit AIDS itu seorang warga Malaysia yang baru pulang dari Singapura dan dimasukkan wad di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu. Radio menyiarkan laporan itu pada warta berita pertama selepas sidang akhbar itu. Televisyen pula menyiarkannya dalam siaran beritanya pada malam itu. Sementara semua akhbar harian menyiarkan laporan itu di muka depan pada keesokan harinya. Berita penulis disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Melayu.
Berita itu menggemparkan dan menjadi perbualan masyarakat. Ini kerana gejala AIDS itu sendiri menggemparkan dunia. Ia pula dikaitkan dengan golongan homoseksual. Sebelum itu, AIDS menjadi heboh di Amerika Syarikat dan Eropah. Laporan mengenainya sampai di Malaysia melalui berita Reuters, AFP dan AP yang disiarkan oleh media tempatan. Majalah Time dan Newsweek yang diedar di negara ini juga melaporkannya.
Tetapi kebanyakan orang Malaysia hanya bergantung maklumat pada akhbar-akhbar tempatan, radio dan televisyen RTM dan TV3. Tidak ada CNN, BBC, Al-Jazeera, NHK dan Deutsche Welle.
Penyakit AIDS dirasakan jauh dan merupakan penyakit negara-negara Barat yang tidak akan sampai ke Malaysia. Tiba-tiba keluar laporan Singapura mengesan pesakit AIDS pertamanya.
Bila AIDS sampai Singapura, orang Malaysia mula berasa bimbang. Ada antara yang merasakan Tambak Johor itu perlu dikawal supaya tidak ada sesiapa yang boleh membawa penyakit AIDS itu ke Malaysia.
Tetapi ternyata apa yang dibimbangi itu berlaku juga. Seorang penghidap penyakit AIDS menyeberangi Tambak Johor dan menjadi pesakit AIDS pertama Malaysia.
Perasaan bimbang terhadap penyakit ini tidak tergambar dalam media. Baik akhbar, radio dan televisyen mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan dalam membuat laporan mengenai penyakit ini. Perkara utama ialah orang ramai tidak wajar panik daripada sepatutnya.
Walaupun ada orang yang berpandangan berlainan menulis surat pembaca di akhbar, tetapi ia tidak begitu dihiraukan. Tidak ada laporan palsu dan teori konspirasi yang disiarkan oleh media.
Kepercayaan orang ramai terhadap pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan, kerajaan dan menteri adalah tinggi.
Ketika itu perdana menteri ialah Mahathir Mohamad yang pada 1986 menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum. Kini AIDS sudah begitu luas berlaku. Walaupun ia masih menjadi ancaman serius pada kesihatan tetapi orang ramai tidak panik.
34 tahun kemudian
Tahun 2020 tentulah berbeza daripada 1986. Perdana menteri walaupun tetap Mahathir tetapi beliau dari Pakatan Harapan. Menteri kesihatan pula Dzulkefly Ahmad dari Amanah. Kedua-duanya kini dan kerajaan menjadi sasaran bertubi-tubi kecaman oleh pengguna Internet terutama di media sosial.
Bertambah buruk lagi penularan laporan palsu yang mengelirukan dan memberi imej buruk pada kerajaan.
Pengkritik terdiri daripada 3 pihak. Pihak pertama ialah penyokong pembangkang yang sememangnya memusuhi PH. Mereka akan sentiasa berfikiran dan mencari keburukan PH dalam apa jua isu. Maka isu wabak virus Wuhan ini durian runtuh bagi mereka.
Pihak ke-2 ialah golongan politik rasis dan keagamaan Melayu-Islam. Mereka akan sentiasa melihat semua isu dari kaca mata rasisme Melayu. Kerajaan PH bagi mereka diteraju DAP. Mereka menentang DAP dari sudut mereka orang Cina. Bila berlaku wabak virus Wuhan, dengan mudah ia dilihat dari sudut perkauman dan keagamaan. Ada kalanya pihak pertama dan kedua itu orang sama.
Sementara pihak ke-3 orang biasa bukan politik atau ideologikal. Malah antara mereka penyokong kerajaan dan pengundi PH. Bagaimanapun mereka terpengaruh dengan laporan-laporan palsu dan termakan dengan hujah mereka. Maka mereka turut mempersoalkan langkah-langkah kerajaan dan segala jawapan Kementerian Kesihatan ditolaknya.
Bagaimanapun, tidak seperti Mak Hon Kam dahulu, Dzulkefly tidak mempunyai masalah dengan partinya. Sebaliknya yang bermasalah ialah Mahathir. Kalau pada 1986, Mahathir tidak mempunyai masalah dengan BN. Tetapi dalam PH, ada isu peralihan kuasa dengan pemimpin PKR, Anwar Ibrahim.
Seperti AIDS, penyakit virus Wuhan masuk ke Malaysia melalui Tambak Johor dari Singapura. Tetapi ada 4 perkara yang membezakan 2020 dengan 34 tahun dahulu.
Pertama, dulu China tidaklah begitu maju seperti pada hari ini dan Malaysia tidaklah banyak berkait dengannya. Tetapi kini bilangan pelancong China begitu besar dengan memberi kesan bermakna pada kedua negara. Malah sudah banyak warga China yang memiliki hartanah.
Ke-2, pengangkutan udara penumpang kini jauh lebih meluas berbanding 1986. Dengan adanya perkhidmatan tambang murah, banyak orang boleh ke mana-mana dalam waktu yang singkat. Maka terdapat banyak penerbangan dari China ke Malaysia. Ia memudahkan pergerakan manusia dan juga mempercepatkan penyebaran penyakit.
Ke-3, landskap teknologi maklumat yang berbeza daripada 1986. Orang ramai tidak lagi bergantung maklumat daripada akhbar, radio dan televisyen. Mereka memperolehi maklumat daripada media digital dan media sosial yang bercampur-baur dengan kepalsuan serta dapat dimanipulasi oleh pelbagai jenis pihak hinggakan kelunturan kepercayaan terhadap pihak berkuasa.
Ini membawa kepada perkara ke-4. Komen-komen negatif dalam media sosial terhadap pihak berkuasa menunjukkan terdapat sentimen besar penolakan terhadap kerajaan. Suasana ini tidak dirasakan pada 1986. PH bukan seperti BN. Tetapi BN sekarang pun tidak sama dengan yang dahulu.
Zaman itu sudah berlalu. Kerajaan akan terus melakukan apa yang difikirkan terbaik tetapi akhirnya pada pilihan raya umum ke-15, rakyat akan memilih siapa yang patut memerintah walaupun banyak dalam kalangan mereka termakan dengan berita palsu dalam media maya.
Dengan mentaliti yang ada ini, kerajaan yang mereka pilih kelak tidak akan lebih baik, malah mungkin lebih buruk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan