HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Januari 2020

Kalau tak mampu tenangkan hati rakyat, lebih baik diam – Hishammuddin

Norlaile Abd Rahman
MGF08082018_DEWANRAKYAT_01
Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Para pemimpin Pakatan Harapan patut mendiamkan diri sekiranya tidak mampu mengeluarkan kenyataan yang boleh menenangkan hati rakyat, kata Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, rakyat kini amat bimbang tentang keselamatan mereka, justeru kerajaan perlu bertegas dalam menghadapi penularan wabak koronavirus sebelum keadaan di negara ini menjadi lebih kritikal.

“Rakyat marah dengan kenyataan sebahagian pemimpin PH bukannya apa, kerana rakyat bimbangkan kesihatan diri mereka. Krisis #CoronavirusOutbreak ini serius.

“Sebab itu, seperti gesaan saya kelmarin di Twitter, kerajaan mesti bertindak tegas sebelum krisis ini jadi lebih kritikal di Malaysia sekaligus memudaratkan rakyat.

“Lagi satu nasihat saya kepada segelintir pemimpin PH, kalau rasa tak mampu keluarkan kenyataan yang menenangkan rakyat, lebih baik diam.

“Kepada para petugas terutama kakitangan perubatan serta penjawat awam yang terlibat dalam pengurusan krisis ini, terima kasih atas pengorbanan demi negara.

“Saya doakan semoga segala urusan dipermudahkan. Dan semoga kita semua dilindungi Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Hishammuddin juga meminta kerajaan dan pihak berwajib supaya memantau perkembangan rakyat Malaysia di Wuhan dengan rapi.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: