HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Januari 2020

Ketua, AJK Upko Putatan keluar parti

Bekas ahli Parlimen dan ketua Upko Putatan Marcus Makin 
Mojigoh berkata, mereka tidak bersetuju dengan sokongan 
pimpinan parti itu terhadap pelaksanaan Pas Sementara Sabah 
sebelum ini. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Ketua bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Putatan Marcus Makin Mojigoh bersama hampir semua ahli jawatankuasa bahagian berkenaan hari ini mengumumkan keluar daripada parti serta merta.

Majigoh berkata, hanya Timbalan Ketua Bahagian Alex Martin dan ahli jawatankuasa dilantik Jacky Litong sahaja yang tidak menyertai kumpulan beliau.

Bekas ahli Parlimen Putatan itu menyatakan antara penyebab tindakan mereka ialah ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan parti yang dikatakan tidak sensitif dengan rungutan akar umbi.

“Upko Putatan juga tidak bersetuju dengan sokongan pimpinan parti terhadap pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) sebelum ini. Upko Putatan turut diketepikan daripada sebarang jawatan di peringkat daerah,” katanya pada sidang media yang diadakan di kediaman beliau di Kampung Kotiduvan Duvanson dekat sini, semalam.

Sementara itu, Mojigoh menolak spekulasi bahawa mereka akan berpindah parti ke Parti Bersatu Sabah (PBS) ekoran kehadiran presiden PBS Maximus Ongkili dan beberapa ahli parti itu ke sambutan Tahun Baru Cina di kediamannya sejurus pengumuman keluar parti.

Tiada ulasan: