HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Januari 2020

Apa yang saya jangkakan dua tahun lalu telah terjadi pada hari ini – Tunku Ismail

Wartawan MalaysiaGazette
MGF25032017_KongresTahunanke-53FAM10
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim


KUALA LUMPUR – Setelah agak lama tidak mengulas isu semasa, hari ini Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuatnaik hantaran mengenai koronavirus – virus dari China yang turut melibatkan pelancong dari negara itu yang kini berada di Malaysia.

Baginda yang kini Pemangku Raja Johor bertitah, ramai yang memintanya bersuara dan melakukan sesuatu berkenaan isu tersebut.

“Saya ingin memberitahu serta mengingatkan kepada anda semua sepanjang dua tahun ini, setiap hari banyak aduan disampaikan kepada saya berkenaan isu pentadbiran, agama, perkauman, ekonomi dan baru-baru ini mengenai kesihatan,” titah baginda di laman sosial Facebook.

Menurut Tunku Ismail, dua tahun lalu baginda telah memberi pandangan tetapi rakyat telah menasihatinya supaya tidak masuk campur.

Ketika itu, titah baginda, rakyat yang baginda bela sendiri telah menyarankan baginda agar berdiam dan tidak masuk campur urusan politik serta kerajaan.

“Saya sanggup dicaci, dimaki untuk membela kedaulatan negeri Johor dan rakyat seluruh negara. Tetapi saya telah disuruh berdiam diri,” titah baginda.

Hari ni, menurut Tunku Ismail, apabila negara dilanda pelbagai krisis, rakyat menyeru kepada baginda untuk melakukan sesuatu.

“Allah S.W.T Maha Kaya, Maha Esa, Maha Adil dan Maha Berkuasa. Hari ini saya berharap anda semua sedar iaitu apa yang saya jangkakan pada dua tahun lalu telah terjadi pada hari ini.

“Demi anda semua, saya, Ismail Ibrahim akan lakukan apa sahaja yang saya mampu untuk anda dan keluarga anda semua kerana itu adalah sumpah saya ketika saya ditabalkan menjadi Tunku Mahkota Johor (di Istana Besar Johor Bahru pada 12 Safar 1431H). Kepada Allah Kami Berserah. Semoga Allah S.W.T berkati kita semua,” titah baginda. – MalaysiaGazette



Tiada ulasan: