Malaysia mempunyai kapasiti untuk menangani kes virus 2019
novel coronavirus dengan sejarah kejayaan cemerlang mengawal penyakit
Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Virus Ebola dan Virus Nipah yang
pernah terjadi sebelum ini.
"Jangan tular berita palsu, menakutkan dengan memberi gambaran kita dalam keadaan panik, adalah penting untuk menjaga satu sama lain," nasihat timbalan perdana menteri pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat koordinasi kluster 2019 novel coronavirus di Putrajaya hari ini.
Malah katanya status virus coronavirus di negara ini masih dalam keadaan terkawal tanpa perlu mencetuskan suasana panik.
"Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas dengan kluster penyakit kluster virus yang telah dikesan di Wuhan, China yang kini merebak ke 14 buah negara dimana dilaporkan empat kes positif di Malaysia.
"Penyakit ini terkawal, jadi kita tidak mahu panik dan keadaan masih terkawal," katanya.
Jelasnya KKM memberi kerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kementerian kesihatan negara-negara jiran berhubung dengan situasi penyakit tersebut.
"Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) turut membentang langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon Kementerian bagi mengelak penularan kluster penyakit ini, termasuk melakukan saringan kesihatan terperinci di pintu masuk antarabangsa negara, dan pemantauan rapi di semua peringkat koodinasi menerusi pengaktifan bilik gerakan di peringkat daerah, negeri dan pusat," katanya.
"Sebelum memasuki ke pesawat juga, wakil Malaysia Airlines akan melakukan saringan dengan bertanya soalan-soalan kepada penumpang untuk memberi kita pengetahuan adakah mereka berisiko untuk masuk ke negara kita," katanya.
Pada masa yang sama katanya Wisma Putra terus memantau rapat keadaan 49 rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan, yang kebanyakannya terdiri daripada mahasiswa dan golongan profesional dan tidak ada keperluan untuk melakukan evakuasi buat masa ini.
"Pihak Kedutaan Malaysia di Beijing juga telah mengeluarkan dua nasihat perjalanan kepada semua rakyat Malaysia di China dan menangguhkan sebarang perjalanan ke 13 wilayah yang dianggap berisiko di China," katanya.
"Ini termasuk semua penumpang penerbangan dari China termasuk warganegara Malaysia wajib melalui saringan kesihatan terperinci," katanya.
Selain itu beliau berkata semua rakyat Malaysia yang telah melawat atau pulang bercuti dari Wuhan khususnya yang mengalami simptom, diminta untuk melaporkan diri segera ke hospital terdekat bagi pemeriksaan kesihatan.
"Manakala mereka yang tidak mempunyai simptom dikehendaki memantau status kesihatan masing-masing dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari China," katanya.
Pada masa yang sama katanya difahamkan bahawa pihak China telah menyekat penerbangan antarabangsa komersil keluar dan masuk di Wuhan, dan telah tidak membenarkan pakej pelancongan secara berkumpulan bagi warganegaranya ke luar negara bermula 23 Januari, 2020.
Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri juga menasihatkan semua rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke Wuhan.
"Orang ramai turut diingatkan untuk mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan; serta segera mendapatkan rawatan di hospital sekiranya mengalami simptom," katanya.
Beliau juga meminta pihak hospital swasta melaporkan segera kepada KKM bagi mana-mana kes penyakit berjangkit.
Beliau turut meminta orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak KKM dan agensi kerajaan yang berkaitan dan semua pihak dinasihatkan agar tidak menimbulkan keadaan tidak tenteram dengan menyebarkan fitnah atau maklumat yang tidak pasti.
Situasi belum sampai tahap henti visa
Mengenai soalan adakah visa pelancong dari China akan dihentikan, beliau berkata mengikut saranan WHO situasi di negara ini belum sampai ke tahap itu.
Beliau berkata pihak kerajaan akan menambah mesin pengesan haba di pintu-pintu masuk negara selain akan mengambil suhu semua penumpang.
"Namun ada penumpang yang tidak ada gejala pun, tetapi mereka adalah pembawa," katanya namun pihak berkuasa akan cuba mengesan sejarah hubungan dengan orang lain yang pernah dilakukan penumpang sebelum ini.
Mengenai status pelancong Wuhan yang telah berada di Malaysia, katanya masalah logistik turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
"Kalau dah ramai kita nak letak kat mana, kerana mereka sihat dan tidak menunjukkan simptom kita nak kuarantin, jadi kita nak letak kat mana dan itu kita akan kita bincangkan dengan Kedutaan China di Malaysia," katanya.
Menjawab soalan mengenai "berita" yang menyatakan bahawa Filipina telah menyekat kedatangan warganegara China, Dr Wan Azizah berkata pihaknya telah mendapatkan pengesahan bahawa negara itu hanya menyekat pelancong dari Wuhan, langkah yang sama telah diambil oleh Malaysia. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan