HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Januari 2020

Mana perkembangan dakwaan saya serang Yusoff, Farhash tanya polis

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendakwa Muhammed 
Yusoff Rawther ialah pembohong dan berlakon sebagai mangsa.
 
PETALING JAYA: Setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengulangi penafiannya terhadap dakwaan beliau menyerang seorang bekas pembantu penyelidik di pejabat presiden PKR itu tahun lalu dan mahu keadilan ditegakkan.

“Yusoff berlakon sebagai mangsa dan ia tidak benar sama sekali. Dia pembohong,” kata Farhash kepada FMT merujuk Muhammed Yusoff Rawther yang membuat laporan polis terhadapnya pada Mei 2019.

Ia selepas Yusoff berkata, beliau bimbang campur tangan individu mempunyai hubungan politik dalam siasatan kes itu.

Yusoff yang turut memfailkan laporan berasingan terhadap Anwar atas dakwaan melakukan serangan seksual terhadapnya pada 2018, mempersoalkan kelewatan dan kebisuan pihak berkuasa, termasuk Jabatan Peguam Negara dan laporan polisnya terhadap Farhash.

Yusoff dalam laporan polis pada Mei tahun lalu berkata, Farhash membelasahnya di sebuah banglo yang digunakan Anwar sebagai pejabatnya sehingga menyebabkannya cedera di bahu.

Satu laporan perubatan dari Hospital Pantai yang ditunjukkan kepada FMT menyatakan dia mengalami kecederaan dan koyakan pada bahu, yang memerlukan pembedahan RM40,000.

Farhash yang menafikan dakwaan itu berkata, beliau juga mahu perkembangan mengenai siasatan polis.

“Saya tidak dapat perkembangan mengenai kes itu, saya mahu keadilan ditegakkan,” katanya yang mahu membersihkan namanya.

September tahun lalu, Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Farhash bagi menuntut pampasan untuk kecederaannya.

Minggu lalu, Farhash memfailkan saman fitnah terhadap Yusoff.

Tiada ulasan: