HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Januari 2020

'Tiada pengunjung dari Wuhan masuk Malaysia sejak 23 Jan'

BERNAMA




Tidak ada pelancong dari Wuhan, China yang masuk ke Malaysia sejak 23 Jan lepas, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, pada tarikh yang sama pihak berkuasa China mengisytiharkan ‘lockdown’ dan menghalang penduduk di Wuhan meninggalkan kawasan berkenaan berikutan wabak 2019 Novel Koronavirus.

“Bagi jumlah warga China yang masuk ke Malaysia sebelum 23 Jan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mendapatkan maklumat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, hari ini.

Jelas Dzulkefly, setakat ini kes positif Koronavirus di Malaysia kekal empat, sementara lima kes sedang menunggu keputusan makmal yang kesemuanya melibatkan warga China.

Daripada lima kes itu, dua di Langkawi, Kedah, dua lagi di Kuala Lumpur dan satu kes terbaru di Bintulu, Sarawak, katanya lagi.

Katanya, kes Koronavirus dikesan di Malaysia berdasarkan dua kategori dengan kategori pertama adalah mereka yang mempunyai pengesanan sentuh dengan pesakit yang positif.
Tiga kes positif pertama di Malaysia melibatkan pengesanan sentuh. Mereka ialah isteri dan dua cucu lelaki kepada seorang warganegara China dari Wuhan berusia 66 tahun yang sedang dirawat di Singapura.

“Kategori kedua ialah mereka yang menunjukkan simptom dan disyaki dijangkiti koronavirus.

“Jumlah kes kumulatif bagi kategori ini setakat ini ialah 38 kes dengan satu daripadanya positif, 32 negatif dan lima menunggu keputusan makmal,” kata Dzulkefly.

Katanya lagi, sehingga 3.00 petang Ahad (26 Jan) seramai 164,692 pengembara telah tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan menjalani saringan.

Daripada jumlah itu, sembilan pengembara telah dirujuk untuk pemeriksaan lebih lanjut, katanya lagi.

“Bagaimanapun, kesemua pengembara ini didapati tidak memenuhi kriteria Patient Under Investigation bagi Koronavirus, sebagaimana yang ditetapkan dalam tatacara pengurusan virus berkenaan,” katanya.

Dzulkefly berkata kesemua pengembara telah dibekalkan dengan kad amaran kesihatan di mana sekiranya gejala yang dialami semakin serius, mereka perlu mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang berdekatan.-Bernama


Tiada ulasan: