HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Januari 2020

PM: K'jaan kaji langkah larang semua penerbangan dari China

HARIZ MOHD



Kerajaan sedang meneliti langkah melarang semua penerbangan dari China ke Malaysia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau ditanya sekiranya Putrajaya akan mengikuti langkah kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang diumumkan awal hari ini untuk melarang sementara semua penerbangan yang berasal dari China.

"Belum ada keperluan. Kita buat kajian sama ada perlu kita hentikan semua penerbangan dari china atau cuma dari Wuhan dan wilayah Hubei saja," jelas perdana menteri.

Mahathir bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama PM bersama rakan strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Terdahulu hari ini, Borneo Post melaporkan Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew mengumumkan negeri itu memutuskan untuk menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan pesawat sewa dari China ke Sabah.

Menurut Liew, perintah penggantungan perjalanan itu berkuatkuasa serta-merta dan keputusan tersebut dibuat demi kebajikan rakyat.

Pihak berkuasa Sarawak juga telah mengeluarkan suatu perintah yang tidak membenarkan pelajar dari China memasuki negeri tersebut.

Menurut Berita Harian, jawatankuasa pengurusan bencana negeri Sarawak menasihatkan semua pelajar China yang baru pulang dari negara mereka terutama dari wilayah Hubei, untuk mengkuarantin diri mereka di rumah.

Sementara itu, pada majlis sama, Mahathir mengingatkan kira-kira 1,000 hadirin mengenai pentingnya merapatkan jurang pendapatan antara penduduk di kawasan luar bandar dan bandar.

Menurutnya, inilah sebabnya kerajaan memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di mana golongan miskin diberi peluang untuk meningkatkan pendapatan dan penghidupan mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata, penerima projek dan bantuan kerajaan tidak sepatutnya menyalahgunakannya dan mengambil jalan pintas keuntungan dengan menjual projek tersebut kepada pihak ketiga.

Menurut Dr Mahathir budaya 'ali baba' inilah yang telah melanda inisiatif kerajaan sebelum ini di bawah Dasar Ekonomi Baru.

Tegasnya, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan amalan sedemikian lagi.

Mereka yang didapati meluluskan projek mereka kepada pihak ketiga akan melihat kontrak mereka dibatalkan, kata perdana menteri.

"Inilah sebabnya kami ingin memastikan semua kontrak dan peluang digunakan dengan betul.
Sekiranya kami dapati bahawa (kontrak) dijual, kami akan mengambil semula peluang ini.

"Ini merupakan salah satu perkara yang menjadi penghalang kepada (kejayaan) dasar kerajaan," kata Mahathir.





Tiada ulasan: