HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Januari 2020

Kerajaan perketat kawalan masuk warga asing, kata TPM

Wan Azizah Wan Ismail (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat 
Penyelarasan Novel Klusterkornavirus, hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar dan agensi lain saling bekerjasama untuk memantau rapat aliran keluar masuk warga China dan warga tempatan yang melancong ke negara itu.

“Kita perketat kawalan masuk ke dalam negara. Malah, sebelum masuk pun akan diperketatkan.
“Kita minta butiran sebelum masuk pintu negara. Warganegara luar akan disaring awal,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Novel Klusterkornavirus, hari ini.

Beliau juga menasihati rakyat tidak menimbulkan rasa panik dengan novel koronavirus (2019 nCoV) yang kini mencatatkan 4 kes di negara ini, mnegaskan kes tersebut belum mencapai tahap wabak, sebaliknya kategori kluster.

“Kita tak mahu panik, keadaan semua terkawal,” katanya

Wan Azizah turut mengulang bahawa Malaysia belum merancang untuk menyekat kemasukan pelancong China ke negara ini selaras dengan syor Persatuan Kesihatan Dunia (WHO) yang menyifatkan kes itu masih belum serius di negara luar selain China.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo meminta rakyat tidak menyebarkan berita dan maklumat palsu mengenai kluster 2019-nCoV, dikhuatiri ia akan menambahkan keresahan rakyat.

Sementara itu, Menteri Luar Saifudin Abdullah berkata, setakat ini tiada sebarang perancangan untuk evakuasi 49 warganegara Malaysia yang berada di wilayah Wuhan, China.

Semua warganegara tersebut merupakan mahasiswa dan profesional yang berkhidmat dan menetap di sana.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan mereka sentiasa menghubungi kedutaan dan pejabat konsulat di negara tersebut

Tiada ulasan: