HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Januari 2020

Sebar khabar palsu: 1 ditahan, 3 lagi dicari

MALAYSIAKINI



Seorang suspek berdepan hukuman berat jika didapati bersalah menyebarkan berita palsu berhubung penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) selepas dia ditahan pihak berkuasa semalam.

Suspek terbabit yang berusia 34 tahun ditahan pihak berkuasa di rumahnya di Bangi, Selangor kira-kira jam 4 petang.

Menurut Suruhanjaya Komunikas dan Multimedia (MCMC), suspek disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Suspek juga boleh didenda lanjutan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Dalam kenyataan dikeluarkan MCMC di Cyberjaya hari ini, suspek terbabit disiasat mengenai hantarannya yang dimuat naik di Facebook pada 26 Jan lalu dan didapati mengandungi butiran palsu.

"Turut dirampas ialah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut," kata MCMC.

Menurut badan berkenaan, tindakan tegas iti diambil sebagai salah satu langkah MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengekang penyebaran berita tidah sahih mengenai wabak 2019-nCov oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut MCMC, amaran mengenai langkah tegas itu sudah dikeluarkan pihak berkuasa pada 27 Jan lagi.

Pada masa sama MCMC dan PDRM sedang giat mencari tiga suspek lain untuk membantu siasatan pihak berkuasa mengenai penyebaran berita palsu.

Kata MCMC, pihak berkuasa akan bersikap tegas ke atas mana-mana pihak yang memulakan, berkongsi dan menyebarkan berita palsu melalui platform media sosial.

"Penyebar khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam pula boleh didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan," katanya.


Tiada ulasan: