HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Januari 2020

Kenyataan jelek penceramah terhadap Mujahid, Amanah buat laporan polis

Muhammad Azizul Osman
MGF27012020_AMANAH-LAPOR-POLIS02
Naib Pengerusi Amanah Wialayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi bersama ahli Amanah yang lain menunjukkan laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook bernama Ibrahim Mohd Raja atas postingnya yang merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof sebagai Menteri Agama berjiwa Kafir di Ibu Pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan hari ini membuat satu laporan polis terhadap penceramah bebas, Ibrahim Mohd Raja.

Laporan oleh Naib Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, itu mengesa polis menyiasat penceramah bebas itu yang membuat kenyataan jelek terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Sabtu lalu.

“Laporan ini dibuat kerana jelas merupakan kesalahan dibawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga merupakan satu fitnah jenayah di bawah Akta 501 dan kenyataan di bawah Seksyen 505, Kanun Keseksaan.

“Tujuan kita buat laporan agar pihak polis dapat mengambil tindakan yang segera terhadap pemilik akaun ini.

“Dengan kenyataan yang sangat jahat dan jelek ini, ia satu perkara yang tidak dapat kita terima,” jelas Ahmad Zamri selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, sebentar tadi.

Turut serta adalah lima Ketua Amanah kawasan Wilayah Persekutuan antaranya Kepong, Batu, Bukit bintang, Bandar Tun Razak dan Setiawangsa.

Kenyataan di Facebook milik Ibrahim itu menyebut Mujahid adalah seorang menteri agama, berjiwa kafir.

Selain laporan polis, Amanah Wilayah Persekutuan akan membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam wilayah Persekutuan (Jawi) kerana Ibrahim mendapat tauliah untuk berceramah daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP).

“Dalam minggu ini kita akan buat laporan kepada MAIWP malah kami menggesa beliau digantung tugas dan ditarik balik (sijil) tauliah beliau,” kata beliau lagi.

Ibrahim Mohd Raja merupakan seorang penceramah bebas yang sering mengadakan ceramah di sekitar surau dah masjid di Wilayah Persekutuan. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: