HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Januari 2020

KKM mohon tambahan peruntukan hadapi coronavirus

ALYAA ALHADJRI & LU WEI HOONG




Kementerian Kesihatan akan memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan untuk berdepan coronavirus, kata menterinya Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata, kementeriannya antara lain menimbang untuk menambah jumlah pengimbas suhu di pintu masuk dan keluar utama sebagai salah satu langkah mengesan mereka yang tiba di Malaysia, yang sudah menunjuk tanda-tanda dijangkiti virus itu.

"Seperti yang anda tahu pengimbas ini sangat penting...Walaupun mereka (yang dijangkiti) masih boleh lepas kerana ia asimptomatik (tidak menunjukkan simptom).

"Setakat ini kita ada 51 pengimbas yang berfungsi dengan baik," katanya ketika sidang media selepas menghadiri acara rumah terbuka Tahun Baru Cina yang dianjurkan bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI), di Dewan Hokkien Klang.
 
"Maka ini sebabnya mengapa saya sudah minta daripada Kementerian Kewangan, bahawa untuk berdepan krisis ini, saya akan (memohon) lebih peruntukan untuk menangani (coronavirus) dan meningkatkan kemampuan dan peralatan kita," katanya lagi.

Lim yang turut ada di sidang media itu membayangkan permohonan itu akan diluluskan.

"Ini isu kesihatan. Beliau boleh gunakan (peruntukan yang diminta)," kata Lim secara ringkas.
Liow Cai Tung
Semalam Exco Pelancongan Johor Liow Cai Tung dilaporkan berkata tiada pengimbas suhu dipasang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru dan Lebuhraya Link Kedua - iaitu pintu keluar masuk utama yang menghubungkan Singapura.

Kesemua empat kes jangkitan coronavirus yang disahkan semalam melibatkan warga China yang masuk ke Malaysia melalui Singapura.

"Kami sedang menambah pengimbas suhu tetapi ada kes yang lebih sukar yang asimptomatik - bermula tanpa simptom dan hanya kemudian menunjukkannya.

"Apa-apa pun kita akan menambah bilangan semua peralatan dan kelengkapan untuk mengesannya," katanya.

Katanya lagi, perkara itu akan dibincangkan di mesyuarat tergempar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Putrajaya hari ini.

Wilayah Hubei dan ibu kotanya Wuhan, merupakan tempat virus 2019-nCoV mula dikesan, yang setakat ini telah menjangkiti 2,000 warga negara itu dan mengorbankan 56 nyawa.


Tiada ulasan: