HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Januari 2020

KKM: 23 individu bawah pemerhatian jangkitan koronavirus

Pegawai Kesihatan Langkawi Yusairi Ismail (kiri) membuat 
saringan suhu badan di laluan ketibaan antarabangsa feri dari 
Koh Lipe, Thailand di Terminal Feri Kuah hari ini. (Gambar 
Bernama)
 
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata setakat hari ini seramai 23 individu yang dikaitkan dengan novel koronavirus (2019-nC0V) diletakkan di bawah pemerhatian pihaknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 14 adalah warga tempatan, 8 warga China dan 1 warga Jordan.

“Terdapat hanya 1 kes yang positif 2019-nCoV iaitu lelaki warga China berusia 40 tahun. Sementara 18 kes adalah negatif iaitu 12 warga Malaysia, 5 (China) dan 1 (Jordan) dan telah keluar hospital.

“Manakala 4 lagi kes iaitu 2 warga Malaysia dan 2 warga China diletakkan dalam isolasi di beberapa hospital, keputusan makmal mereka akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya.

Hisham berkata daripada 8 warga China yang merupakan kontak langsung dengan kes pertama di Singapura, hanya 3 didapati positif dan 5 lagi telah dihantar pulang.

Tambahnya, 17 orang kontak rapat kes positif ke-4 diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.

Sehingga malam tadi, KKM mengesahkan 4 kes positif 2019-nCoV di negara ini di mana mangsa terbaru melibatkan lelaki berumur 40 tahun dari Wuhan.

Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, 3 kes pertama merupakan keluarga terdekat kepada kes positif di Singapura yang melibatkan seorang lelaki berusia 66 tahun dari Wuhan, China.

Mereka kini diisolasi di Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Tiada ulasan: