HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Februari 2020

Indonesia berdemo, bantah kuarantin rakyatnya dari China di Natuna

Indonesia memindahkan 238 rakyatnya dari wilayah Hubei di China 
susulan wabak koronavirus. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Rakyat Indonesia di Riau mengadakan tunjuk perasaan sejak Ahad lalu bagi membantah tindakan kerajaan menjalankan kuarantin terhadap warganya yang dibawa pulang dari Wuhan kerana bimbang dengan jangkitan koronavirus.

Doktor pakar dari Hospital Universiti Indonesia, Raden Rara Diah Handayani dilaporkan cuba menenangkan rakyat republik itu yang dikatakan kurang mendapat pendedahan mengenai wabak tersebut.

“Kalau yang datang dari China akan diasingkan sejauh 2km dari masyarakat. Jadi risikonya sangat kecil,” katanya memetik laporan Tempo.co.

“Apabila warga Indonesia dari China ini sampai di Indonesia dan 2 minggu pakai topeng muka tapi tetap sihat, ertinya tidak ada virus di tubuh mereka yang boleh disebarkan,” tambahnya merujuk tempoh pengeraman virus tersebut iaitu 2 hingga 14 hari setelah menjangkiti seseorang.

Ahad lalu, Indonesia dilaporkan memindahkan 238 rakyatnya dari wilayah Hubei di China dan menempatkan mereka di Pulau Natuna di wilayah Kepulauan Riau yang terletak di Laut China Selatan.

Mereka ditempatkan di pangkalan udara tentera Indonesia di Pulau Natuna yang dilaporkan lengkap dengan pelbagai kemudahan serta akan menjalani pemeriksaan dan pemantauan kesihatan selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang bertemu keluarga mereka.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan tunjuk perasaan yang diadakan di ibu kota Ranai yang terletak beberapa kilometer dari pangkalan tentera yang dikawal ketat.

Turut dilaporkan berlaku pertengkaran kecil antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.


Tiada ulasan: