HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 April 2020

Jangan takut pertahan Rohingya kerana ia isu kemanusiaan, kata Anwar

Anwar Ibrahim mencadangkan Malaysia menyediakan sebuah 
kawasan khas yang dikawal pihak berkuasa untuk menempatkan 
pelarian Rohingya sementara menunggu mereka dihantar 
ke negara ketiga.
 
PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim meminta pemimpin negara bertegas dalam isu pelarian Rohingya, bukannya mengikut sentimen dan selera rakyat semata-mata.

“Jangan kita biar, pemimpin pun bertegaslah. Dahulu sampai buat perhimpunan membela, bukan main riuh-rendah satu stadium.

“Sekarang ini, takut orang tengah marah, dalam politik itu nak ikut apa. Betul ikut selera rakyat, tetapi mesti pertahankan hak dan ini soal kemanusiaan,” katanya dalam sidang video yang disiarkan di Facebook malam tadi.

Beliau mengulas serangan bertali arus rakyat mengkritik dan mengecam pelarian Rohingya yang dipercayai berpunca daripada berita palsu mendakwa etnik itu menuntut hak sama rata dan kerakyatan Malaysia.

Ia menyusul tindakan pihak berkuasa menghalang 2 bot membawa pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara lebih seminggu lalu.

Anwar berkata, beliau tidak menyokong pemberian kerakyatan Malaysia kepada pelarian Rohingya dan etnik itu juga tidak pernah meminta diberikan kewarganegaraan Malaysia.

“Kalau kita baca, dia tuntut kerakyatan di negara dia. Mereka dinafikan kerakyatan di negara sendiri sebab perkampungan dibakar, diusir, jangan kita tambah.

“Tidak ada soal kerakyatan di dalam negara (ini), nak tegur, nak marah boleh, tetapi jangan sampai hilang nilai kemanusiaan kita.”

Katanya, sokongan serupa harus diberikan kepada komuniti Rohingya apabila Malaysia menyokong rakyat Palestin yang dizalimi, dihina dan dibunuh rejim Israel.

“Undang-undang jelas, kita sebagai satu negara tertakluk kepada undang-undang, takkanlah sebagai orang Islam terutamanya, kita boleh tergolong daripada orang yang tidak ada perikemanusiaan.

“Mengapa kita sokong rakyat Palestin, kenapa kita sokong Rohingya, ia atas prinsip sama.”

Katanya, sokongan terhadap komuniti Rohingya tidak bermakna negara akan mengorbankan rakyatnya sendiri dengan memberikan kewarganegaraan kepada mereka.

Tetapi, beliau tidak menolak kemungkinan memberi suaka politik dan status pelarian kepada etnik Rohingya.

Anwar turut mencadangkan Malaysia menyediakan sebuah kawasan khas yang dikawal pihak berkuasa untuk menempatkan pelarian Rohingya sementara menunggu mereka dihantar ke negara ketiga.

“Saya katakan bagi kawasan sempadan, bagi dia duduk di situ sementara kita buat desakan yang kuat dari segi politik dan negara juga menuntut. Mana boleh Myanmar buat begitu sahaja, buang orang dia, kita pula yang kena tanggung?

“Sekarang ini patut kita fikir, kerajaan Myanmar bayar balik ganti rugi kepada kerajaan Malaysia. Hal (kos) yang kita belanjakan untuk mereka.”

Tentera Laut Diraja Malaysia menyekat sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara pada 16 April lalu.

Sehari sebelum itu, 60 etnik Rohingya dilaporkan maut dalam bot yang sarat dengan ratusan pelarian Rohingya selepas pihak berkuasa Thailand dan Malaysia menghalang kemasukan mereka.

Keganasan etnik dan agama di Myanmar terhadap Rohingya Islam, yang dianggap minoriti paling tertindas di dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, menyebabkan ratusan ribu melarikan diri ke negara jiran.

Dianggarkan 200,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia, tetapi mereka dinafikan pekerjaan sah kerana kerajaan tidak mengiktiraf mereka sebagai pelarian.

Tiada ulasan: