HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 April 2020

Mansuh sama sekali UPSR, PT3, syor ahli akademik

Pembatalan UPSR dan PT3 memberi peluang mewujudkan 
penilaian berasaskan sekolah, yang memudahkan lagi mengesah 
kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran. (Gambar 
Bernama)
 
PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menyambut baik pembatalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Pentaksiran Tingkatan Tiga kerana ia peluang untuk mewujudkan penilaian berasaskan sekolah (SBA) untuk sistem pendidikan.

Zuwati Hasim dari Universiti Malaya berkata, kerajaan membuat keputusan bijak membatalkan peperiksaan tahun ini berikutan wabak Covid-19.

Malah, beliau berkata lebih baik jika ia dilakukan secara kekal.

“Saya menyokong penilaian berasaskan sekolah di mana pengajaran dan pembelajaran dilihat sebagai proses perkembangan dan bukan untuk menghasilkan individu yang boleh mendapat A tetapi tidak dapat menerapkan pengetahuan yang dipelajari,” kata Zuwati dari Fakulti Pendidikan UM kepada FMT.

“Sistem kita sangat berorientasikan peperiksaan sehingga kebanyakan masanya pelajar menghafal dan mencurahkan jawapan daripada memahami konsep yang seharusnya mereka pelajari.”

Oleh kerana SBA memerlukan peranan aktif guru dan pelajar, beliau berkata, akan lebih mudah untuk mengesan kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran dan menyediakan intervensi awal.

“SBA boleh digunakan untuk mendiagnosis masalah pembelajaran. Oleh itu, tidak akan ada isu pelajar ketingggalan.”

Menteri Pendidikan Radzi Jidin, ketika mengumumkan pembatalan itu, berkata kementerian akan memperkenalkan kaedah alternatif untuk menilai pelajar yang seharusnya menduduki peperiksaan untuk masuk ke sekolah berasrama.
Zuwati Hasim
Zuwati berkata pemansuhan UPSR dan PT3 dan beralih kepada SBA tidak akan menjadi masalah untuk masuk ke sekolah berasrama.

“Mereka yang berminat masuk ke sekolah berasrama boleh menduduki ujian kemasukan selain memenuhi syarat masuk lain yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.”

Beliau berkata ketiadaan penilaian berorientasikan peperiksaan akan membebaskan pelajar daripada bergantung pada tuisyen selepas sekolah.

“Ibu bapa tidak perlu risau untuk menghantar anak mereka ke tuisyen lagi apabila pembelajaran berkesan berlaku di sekolah. Penilaian berasaskan sekolah boleh merangkumi kuiz, ujian, tugasan, kerja projek, pembentangan dan portfolio sebagai kaedah penilaian alternatif.”

Aktivis pendidikan Noor Azimah Rahim dari Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan bersetuju lebih baik untuk pelajar tanpa tekanan peperiksaan.

Beliau juga berkata ibu bapa yang berhubungan dengan beliau menyokong keputusan untuk membatalkan UPSR dan PT3.

“Ibu bapa lebih suka memastikan anak-anak selamat dan sihat di rumah sehingga mereka yakin sekolah selamat,” tambahnya.

Tiada ulasan: