HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 April 2020

Ketahui bahayanya pakai ‘contact lens’ ketika Covid-19




Mata yang kering disebabkan pemakaian kanta lekap akan 
menyebabkan anda cenderung untuk gosok mata.

Anda gemar memakai kanta lekap ketika Covid-19? Adakah anda tahu aspek penjagaan mata penting dalam mengekang penularan wabak jangkitan coronavirus ini?

Sebelum mengetahui pemakaian kanta lekap ketika Covid-19, fahami penjagaan mata dulu

Menjaga aspek kebersihan tangan adalah perkara penting dalam mengekang penularan wabak Covid-19. Begitu juga dengan penjagaan mata.

Jangkitan virus ini boleh menyebabkan anda mengalami masalah pernafasan tahap ringan dan teruk.

Simptom seperti demam, batuk dan sesak nafas boleh muncul antara 2 hingga 14 hari selepas dijangkiti.

Individu yang mendapat jangkitan teruk boleh mengalami masalah radang paru-paru dan mati kesan daripada komplikasi berkaitan kesukaran untuk bernafas.

Disebabkan itu aspek penjagaan mata juga penting. Apa kaitannya dengan penjagaan mata dan pernafasan?

Berikut sebabnya:
  • Apabila seseorang individu sakit semasa batuk atau bercakap, zarah virus melalui rembesan air boleh keluar dari mulut dan hidung. Anda mungkin ada tersedut rembesan air itu melalui mulut atau hidung, dan ia juga boleh memasuki mata
  • Jangkitan juga boleh berlaku apabila anda menyentuh sebarang permukaan tercemar seperti meja atau tombol pintu dan kemudian menyentuh mata anda
Punca mata merah, mungkinkah daripada pemakaian kanta lekap ketika Covid-19?

Sekiranya anda terlihat individu dengan mata yang merah, jangan panik. Ia tidak bermakna mereka dijangkiti dengan virus Covid-19.

Bagaimanapun, kajian di China mendapati, 1 daripada 3 individu yang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan Covid-19 berdepan dengan masalah mata, seperti mata merah atau konjunktivitis.

Jadi, penting untuk anda faham virus ini boleh merebak melalui sentuhan pada permukaan tercemar atau rembesan air daripada individu dijangkiti.

Pemakaian kanta lekap ketika Covid-19

Menurut Pakar Mata merangkap jurucakap American Academy of Ophthalmology, Dr. Sonal Tuli, penting bagi seseorang individu untuk mengutamakan aspek penjagaan kebersihan diri dalam mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Tabiat mencuci tangan dengan kerap, penjagaan mata yang baik serta mengelakkan sentuhan wajah, seperti mulut, hidung dan mata, adalah antara langkah pencegahan yang baik.

Jadi bagaimana jika anda masih tegar ingin memakai kanta lekap ketika Covid-19?
Apa kata anda ikuti penjelasan berikut. Pilihan di tangan anda.

1. Jika anda memakai kanta lekap ketika Covid-19, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk memakai cermin mata

Tiada sebarang bukti menyatakan penggunaan kanta sentuh boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Tetapi Dr Tuli mengatakan bahawa individu yang memakai kanta lekap akan lebih kerap menyentuh mata berbanding mereka yang tidak.

Beliau menasihatkan untuk beralih kepada penggunaan cermin mata untuk sementara waktu.

Ini terutamanya jika anda seorang yang gemar menggosok mata apabila memakai kanta lekap ketika Covid-19.

Pemakaian cermin mata sebagai pengganti kanta sentuh boleh mengurangkan kerengsaan dan sentuhan mata.

2. Pemakaian cermin mata memberikan perlindungan tambahan

Walaupun ia bukanlah 100% dapat melindungi mata, namun cermin mata boleh dianggap sebagai perlindungan tambahan buat mata dari sebarang rembesan air.

Virus tetap boleh mencapai bahagian mata daripada sisi, atas dan bawah mata yang terdedah daripada cermin.
Namun ia lebih baik daripada memakai kanta lekap ketika Covid-19, bukan?
3. Penyediaan ubat mata

Pakar menasihatkan untuk individu menyimpan ubat-ubatan kritikal dengan secukupnya terutamanya apabila anda perlu menjalani kuarantin diri ataupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Pastikan stok mencukupi dan jangan tunggu sehingga habis untuk menambah bekalan ubat-ubatan anda.

4. Hindari menyentuh mata

Kita semua melakukannya. Tidak kira sama ada individu dewasa mahupun kanak-kanak, ia adalah 1 tabiat semula jadi dan sukar untuk dihentikan.

Namun, jika anda mampu mengurangkan amalan ini, ia dapat merendahkan risiko untuk mengalami jangkitan.

Sekiranya wujud keinginan untuk menggosok atau menggaru mata mahupun sekadar membetulkan kedudukan cermin mata, gunakan tisu sebagai lapik untuk jari anda.

Memakai kanta lekap ketika Covid-19 akan membuatkan mata anda lebih senang menjadi kering dan anda akan menjadi lebih terdedah kepada keadaan untuk menyentuh mata.

Mata yang kering akan menyebabkan anda cenderung untuk menggosok mata, jadi mungkin anda perlu mempertimbangkan untuk menambah penggunaan titisan pelembap dalam rutin penjagaan mata.

Sekiranya anda tetap perlu menyentuh mata, walau untuk apa jua alasan, pastikan anda mencuci tangan dengan sabun dan air untuk tempoh 20 saat.

Selepas memegang mata, pastikan anda mencuci tangan sekali lagi.

Amalan penjagaan diri

Sesungguhnya penjagaan kebersihan diri dan amalan jarak sosial yang baik adalah antara cara yang boleh membantu mengurangkan penularan wabak.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) turut mengeluarkan panduan untuk mengekang jangkitan Covid-19, antaranya:
  • Cuci tangan dengan sekerap mungkin menggunakan sabun dan air untuk tempoh 20 saat
  • Anda harus membasuh tangan sebelum dan selepas makan, selepas menggunakan bilik air, selepas bersin dan batuk
  • Jika anda tidak menjumpai punca air untuk membasuh tangan, penggunaan gel pembersih dengan 60% kandungan alkohol boleh membantu
  • Elakkan daripada menyentuh muka, khususnya mata, hidung dan mulut
  • Jika batuk atau bersin, gunakan tisu atau siku sebagai perlindungan. Jika menggunakan tisu, buangkan ia di tempat sewajarnya selepas digunakan. Kemudian jangan lupa untuk mencuci tangan
  • Hindari daripada melakukan kontak dengan individu yang tidak sihat
  • Duduk di rumah jika anda berada dalam keadaan yang tidak sihat
  • Lakukan amalan disinfeksi rumah dengan kerap terutamanya pada tempat atau bahagian yang kerap disentuh
*Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tiada ulasan: