Masa untuk bersama isteri, anak-anak, rakan taulan dekati Allah SWT
ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat Allah
SWT kerana sekali lagi kita diberi kesempatan untuk menyambut kehadiran
bulan yang penuh dengan keberkatan Ramadan al mubarak.
Berbanding tahun-tahun sebelumnya,
Ramadan kali ini pasti berbeza bagi umat Islam di seluruh dunia ekoran
daripada penularan wabak COVID-19 yang sehingga kini sudah membunuh
lebih 180,000 nyawa.
Manusia kini tidak lagi bebas bergerak ke
sana ke sini dan perlu mengadaptasi norma kehidupan baharu dalam usaha
memutuskan rantaian wabak agar tidak terus menular.
Walau apa pun musibah atau dugaan yang melanda, Pedang doakan agar ianya tidak menjejaskan ibadah puasa anda.
Apa yang pasti tahun ini, tiada suasana
meriah solat tarawih secara berjemaah di masjid atau surau di seluruh
negara setelah kerajaan memutuskan untuk membatalkannya bagi melindungi
para jemaah daripada COVID-19.
Turut mengambil pendekatan sama adalah
pemerintah Arab Saudi yang mengarahkan supaya orang awam tidak
dibenarkan menyertai solat tarawih di dua masjid suci iaitu Masjidil
Haram dan Masjid Nabawi kecuali kakitangan serta pekerja pembersihan.
Agak menyedihkan apabila mendengar berita
itu, namun secara hikmahnya inilah masa terbaik untuk kita beribadah di
rumah bersama isteri, anak-anak atau rakan taulan yang Pedang percaya
mampu memperkukuhkan lagi hubungan dalam sesuatu institusi kekeluargaan.
Jangan pula ada yang berdegil dengan
melanggar arahan yang ditetapkan oleh kerajaan, sesungguhnya apa yang
dilakukan ketika ini adalah demi kebaikan masa hadapan.
Hakikatnya, kehadiran Ramadan adalah masa
terbaik untuk kita mendekatkan diri dengan pencipta, jika selama ini
kita sering memberi alasan kesibukan duniawi membataskan kesempatan
beribadah, namun kini alasan itu tidak terpakai lagi.
Ramadan kali ini juga menyaksikan umat
Islam di kota perlu melupakan norma kebiasaan pulang ke kampung halaman
untuk berpuasa bersama keluarga, susulan amaran tegas kerajaan agar
tiada sebarang pergerakan rentas sempadan berlaku sepanjang pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Begitu juga halnya bazar Ramadan, lokasi
yang menjadi tumpuan peniaga menjana pendapat lumayan dan orang ramai
mendapatkan juadah berbuka puasa tidak dibenarkan beroperasi tahun ini,
namun kegusaran ramai tampak terubat melalui khidmat e-bazar yang
menawarkan perkhidmatan penghantaran melalui e-hailing.
Sehubungan itu, semua pihak diminta untuk
terus bertahan, duduk diam-diam di rumah kerana kita sudah hampir untuk
mencapai kejayaan. Kita mesti menang! Jika tidak, Pedang rasa kerajaan
tidak akan beragak-agak melanjutkan tempoh PKP ke suatu masa yang lebih
lama.
Rakyat Malaysia sewajarnya menzahirkan
kesyukuran kepada Allah SWT, walaupun negara dilanda musibah COVID-19
namun masih berada dalam keadaan baik berbanding di negara lain yang
mana rakyatnya perlu bertarung nyawa bagi mendapatkan sesuap nasi.
Justeru, marilah kita sama-sama mendoakan agar Allah SWT mengangkat musibah ini segera agar dunia kembali pulih.
Kata Pedang: Terima kasih kepada Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Kabinet yang begitu
memahami denyut nadi rakyat dan sentiasa memikirkan jalan penyelesaian
alternatif kepada rakyat dalam menempuh saat sukar sepanjang PKP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan