HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 April 2020

Siap siaga tapi belas kasihan pada Rohingya, kata PAS

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Pemimpin PAS menasihatkan supaya kerajaan bersifat belas kasihan terhadap pelarian Rohingya, meskipun dalam keadaan bersiap siaga dalam mengawal sempadan.

Menurut Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, rakyat di negara ini perlu faham keadaan yang dihadapi oleh pelarian.

“Kepada rakyat, fahami isu sebenar tentang penghapusan etnik, nasib pelarian, dan sindiket pemerdagangan manusia, elakkan menangguk di air yang keruh.

“Kepada kerajaan Malaysia, siap siaga mengawal sempadan, namun bersifat belas terhadap pelarian, dan rangka penyelesaian jangka panjang yang konkrit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu Rohingya menjadi perhatian ramai di media sosial sejak beberapa hari lalu selepas pihak berkuasa memintas cubaan sebuah bot membawa pelarian Rohingya memasuki negara ini pada 16 April lalu.

Pada masa sama, Muhammad Khalil menyeru supaya pertubuhan antarabangsa seperti negara anggota Asean, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bekerjasama dalam membantu kepincangan yang dihadapi oleh pelarian Rohingya.

“Kepada Asean, segerakan dialog, hulurkan bantuan rentas-sempadan, tangani isu kedaulatan dan kemanusiaan secara bersama.

“Kepada OIC, jadilah pelindung kepada etnik Rohingya, tubuhkan dana khas membela nasib pelarian, gerakkan bantuan kemanusiaan, kesihatan, dan pendidikan secara tersusun.

“Kepada PBB dan dunia, teruskan desakan bagi mewujudkan keamanan dan kebebasan di wilayah Arakan, Myanmar,” katanya.

Bot yang membawa pelarian Rohingya itu membawa kira-kira 200 orang Rohingya yang mahu memasuki Malaysia menerusi perairan Langkawi.

Tindakan itu mendapat perhatian Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani, yang kemudiannya mengeluarkan kenyataan supaya kerajaan bertanggungjawab terhadap pelarian berkenaan.

Zafar turut didakwa mengeluarkan kenyataan menghina rakyat Malaysia, menuntut hak kerakyatan penuh.

Bagaimanapun, dia menafikan pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu dan menyifatkannya sebagai tuduhan palsu.

Tiada ulasan: