HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 April 2020

BANGKIT KEBENCIAN ROHINGYA UNTUK TENGGELAMKAN ISU SINDIKET MYKAD?

Kamarool Haidi
BANGKIT KEBENCIAN ROHINGYA UNTUK TENGGELAMKAN ISU SINDIKET MYKAD?


MUAFAKAT terpanggil untuk memberi respons awal terhadap tertular di alam maya tentang sentimen api kebencian terhadap pelarian Rohingya, saudara seagama kita. Adakah ini anjuran Islam sempena di awal bulan Ramadan Kareem yang sepatutnya mengajar kita sifat ihsan dan berperikemanusiaan kepada golongan yang daif?

2. Persoalannya adakah dakwaan tuntutan-tuntutan kerakyatan itu benar dan beberapa permintaan asas kemanusiaan itu melampaui batas? Sebagai umat Islam kita diminta untuk berlaku adil dan saksama dalam menilai berita dan isu, lebih-lebih lagi di saat masyarakat umum gelisah dengan keadaan yang tidak menentu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

3. MUAFAKAT tidak menolak kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab memainkan isu ini untuk menimbulkan suasana tidak harmoni dan mengecam manipulasi komen media sosial yang menimbulkan fitnah terhadap pelarian Rohingya. Rata-rata mereka mahu pulang ke kampung halaman masing-masing tetapi terhalang kerana rejim Myanmar telah membatalkan kewarganegaraan mereka.

4. MUAFAKAT sedar cabaran isu pelarian bukan satu perkara yang mudah untuk ditangani kerana ia perlu dilihat dalam pelbagai dimensi. Ia melibatkan penyelesaian jangka panjang ke atas nasib status pelarian yang berada di Malaysia. Sehingga kini, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di Malaysia.

5. Namun begitu Malaysia masih berjiwa besar untuk menerima lebih 150,000 pelarian Rohingya di negara ini. Apapun MUAFAKAT berpandangan kedaulatan dan integriti sempadan negara serta kebajikan rakyat Malaysia perlu dan tetap menjadi keutamaan pemerintah. MUAFAKAT juga ingin mengingatkan kepada pelarian Rohingya untuk menghormati sistem perundangan serta harus mendokong kesusilaan rakyat negara ini.

6. MUAFAKAT percaya kerajaan Malaysia mempunyai sebab tertentu untuk tidak menandatangani konvensyen berkenaan kerana sebarang keputusan memerlukan pertimbangan yang terperinci. Sungguhpun demikian ia tidak menghalang sifat ihsan dan peri kemanusiaan negara dalam mendepani isu pelarian ini. Yang lebih malangnya apabila terdapat pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan.

7. Di sini MUAFAKAT ingin melihat kerajaan Malaysia terus mendesak agar rejim Myanmar mengambil semula pelarian Rohingya dan tidak berlaku zalim terhadap mereka. Pihak UNCHR juga harus memainkan peranan dengan memberi tekanan terhadap rejim Myanmar di peringkat antarabangsa kerana ini adalah isu asas hak asasi manusia.

8. MUAFAKAT ingin menarik perhatian berkenaan isu yang lebih besar dan merbahaya iaitu sindiket MyKad yang telah mendapat pendedahan sekian lama dan sudah mula dibuat beberapa tangkapan. Dilaporkan terdapat lebih dari 100,000 rakyat asing telah memperolehi MyKad palsu dan kini berkeliaran di dalam masyarakat sini tanpa kita sedari. Pengecaman secara fizikal sukar dilakukan namun usaha memberkas mereka ini perlu dibuat dengan lebih agresif. Yang bersalah harus dikenakan hukuman yang berat khususnya terhadap pengkhianat yang mengabai aspek keselamatan negara semata-mata untuk memenuhi kepentingan diri.

9. Ini tidak terkecuali mereka yang masuk melalui sempadan Sabah dan Sarawak yang bercakap dan berwajah sama seperti rakyat Malaysia Borneo yang lain. Memetik kata-kata YB Amzad Hashim, pemberian MyKad kepada warga asing umpama bom jangka kepada penduduk tempatan. Bahkan pada 2008 terdapat cubaan yang menggunakan kad pengenalan palsu untuk memohon menjadi anggota tentera.

10. Kegiatan sindiket ini memerlukan cara serta kaedah yang lebih agresif dan berkesan dari pihak berkuasa kerana melibatkan orang dalam. MUAFAKAT berharap satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) segera ditubuhkan untuk menyiasat kegiatan ini dan mengenalpasti dalang-dalang utama pemberian kewarganegaraan melalui kad pengenalan atau MyKad palsu untuk membolehkan pengkhianat negara dapat ditumpaskan dan dikenakan hukuman yang maksimum.

* Haji Rashidi bin Haris -KETUA MEDIA MUAFAKAT


Tiada ulasan: