HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 April 2020

Pakar Perunding Neonatologi warga Malaysia meninggal dunia di UK akibat COVID-19


DR. VISHNA RASIAH, seorang doktor warga Malaysia yang berkhidmat sebagai pakar perunding neonatologi di Hospital Wanita Birmingham, United Kingdom (UK) dilaporkan meninggal dunia susulan menerima rawatan COVID-19.

Menurut kenyataan pada laman web Yayasan Wanita dan Kanak-kanak Birmingham pada Jumaat, Dr. Rasiah atau lebih dikenali sebagai Vish dalam kalangan rakan-rakannya, merupakan seorang doktor yang juga Ketua Klinikal untuk rangkaian Neonatal serantau yang mendapat perhatian dan sanjungan para kakitangan hospital.

Ketua Eksekutif Hospital Kebajikan Wanita Birmingham, Sarah-Jane Marsh menggambarkan, mendiang sebagai seorang pakar yang cukup terkenal di seluruh kawasan tengah Midlands, UK serta disayangi rakan-rakan sekerjanya.



“Vish merupakan seorang doktor, ketua, rakan sekerja dan kawan yang sangat berdedikasi dalam urusan penjagaan bayi dan keluarga mereka.

“Pemergiannya dalam cara yang sangat tidak adil, amat mendukacitakan kami terutamanya yang terlibat dalam penjagaan neonatal dan pastinya, isteri dan anak perempuannya.

“Walaupun kami bersedih, kami harus mengingati nilai-nilai, visi, keberanian dan sikap belas kasihan yang diterapkan mendiang.

“Semoga Tuhan merahmati Vish dan semoga kamu berehat dengan aman,” kata Marsh dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, isteri mendiang yang hanya dikenali sebagai Liza berkata, mendiang merupakan seorang suami dan bapa yang penyayang kepada cahaya mata perempuan mereka, Katelyn.

“Kami sungguh sedih dengan pemergian Vish. Vish merupakan seorang suami dan bapa penyayang kepada anak kami, Katelyn serta seorang anak dan abang yang disayangi oleh keluarga kami di Malaysia dan Trinidad.

“Keluarganya amat bermakna buatnya dan mendiang sungguh sayang akan Katelyn.

“Vish sungguh komited terhadap kerjanya dan beliau menganggap rakan sekerjanya sebagai ahli keluarga.

“Mendiang merawat dan melayan semua pesakit seperti ahli keluarganya. Saya sungguh bangga dengannya,” katanya.

Pada masa yang sama, Pengarah Perubatan hospital itu, Dr. Fiona Reynolds berkata: “Ia cukup meluluhkan hati apabila kehilangan seorang yang amat berbakat, berdedikasi dan dihormati seperti Vish.

“Kehilangannya bukan sahaja dirasai oleh rakan-rakan sekerja di hospital kami malah oleh ramai di seluruh kawasan Midlands yang bekerja bersamanya.”

United Kingdom antara negara paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan mencatatkan hampir 150,000 kes positif serta hampir 20,000 kematian setakat kelmarin. – ASTRO Awani-SM

Tiada ulasan: