SELEPAS 17 hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Menjelaskan keputusan sukar itu, Muhyiddin berkata, beliau dipilih dalam situasi luar biasa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara iaitu berhadapan virus pandemik.
Dalam keadaan sebegitu rupa, katanya, situasi adalah merbahaya dan boleh mengancam nyawa rakyat.
"Pasti paling utama nak diberi perhatian ialah bagaimana perkara ini dapat dikawal dan usaha perlu dibuat seberapa cepat mungkin.
"Ini kerana kelewatan sehari dua akan membawa kesan besar kepada rakyat jelata, maka kita buat keputusan yang tidak pernah kita buat sebelum ini.
"Saya fikir belum ada kerajaan sebelum ini pernah memutuskan sebagaimana yang saya lakukan untuk mengenakan PKP, itu sebagai satu cara untuk mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Temubual Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di televisyen, malam ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan beliau tidak memikirkan soal politik apabila mula dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu.
Beliau berkata, turut mengelak mengeluarkan kenyataan berbaur politik kerana menyedari rakyat muak dengan 'cerita politik' terutama yang menyentuh soal parti dan status kerajaan Pakatan Nasional (PN).
"Saya terus menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang berdepan dengan penularan wabak Covid-19 serta merangka pakej rangsangan untuk memastikan ekonomi negara terus stabil.
"Saya dalam keadaan sejak awal saya duduk di kerusi Perdana Menteri, saya tak fikir soal politik. Saya tahu mereka muak cerita-cerita itu.
"Yang mereka nak tahu, apa kerajaan buat. Apa Perdana Menteri atau Jemaah Menteri dan juga pentadbiran kerajaan yang ada hari ini laksanakan untuk menangani isu penting (Covid-19) yang sedang mereka hadapi," katanya.
Disebabkan itu, Muhyiddin berkata, beliau tidak mengeluarkan dalam mana-mana kenyataan sebelum ini termasuk keadaan sekarang mengulas soal yang berkaitan dengan hal politik.
"Nanti orang kata soal Covid-19 tak selesai, dia cerita soal parti dia, dia cerita soal gabungan dia, kerajaan dia, keabsahan dia. Yang ini rakyat tidak berminat," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan