HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 April 2020

KKM: Lebih ramai petugas kesihatan akan terima elaun penuh Covid-19

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Lebih ramai petugas kesihatan yang terlibat menangani wabak Covid-19 layak mendapat jumlah penuh elaun khas RM600 yang sebelumnya diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ini berdasarkan surat pekeliling bertarikh 21 April yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Chen Chaw Min.

Dalam surat pekeliling itu, Chen berkata keputusan tersebut berdasarkan maklum balas yang diterima kementerian mengenai kelayakan elaun dan proses tuntutan.

Dalam pekeliling KKM itu dinyatakan beberapa petugas penjagaan kesihatan yang sebelumnya tidak layak mendapat elaun sekarang akan layak menerimanya.

Ini merujuk kepada pekerja kesihatan yang terlibat dalam penerimaan dan rawatan pesakit yang disyaki Covid-19 di wad jangkitan pernafasan, mereka yang bekerja di jabatan kecemasan dan trauma, serta petugas yang menangani jenazah pesakit Covid-19 atau jenazah yang disyaki dijangkiti wabak itu.
Kepada petugas kesihatan ini, mereka diminta bekerja mengikut jadual supaya mendapat elaun penuh, tanpa mengira jumlah hari mereka menghabiskan masa bekerja dengan pesakit Covid-19.

Di samping itu, tiga kategori petugas kesihatan yang lain juga layak mendapat elaun penuh tanpa mengira jumlah hari mereka bekerja untuk tugas-tugas yang berkaitan dengan Covid-19.

Ini termasuk pekerja kesihatan yang melakukan pemeriksaan Covid-19 di pusat-pusat pemeriksaan, tetapi kini pekeliling KKM juga menyatakan bahawa mereka yang terlibat dalam pengawasan penyakit untuk penyakit seperti influenza juga layak menerima elaun khas itu.

Petugas penjagaan kesihatan yang mengumpul dan mengangkut sampel ke makmal, dan mereka yang mengendalikan kemasukan dan rawatan pesakit Covid-19 yang disahkan di wad pengasingan, juga layak mendapat elaun penuh tanpa mengira jumlah hari mereka bekerja pada tugasan yang berkaitan Covid-19.

Budi bicara hospital tambah kategori layak 

Berdasarkan garis panduan sebelumnya yang dikeluarkan pada 16 Mac, pekerja ini hanya layak mendapat elaun penuh jika mereka telah ditugaskan selama lebih dari 15 hari dalam satu bulan kalendar.

Jika tidak, mereka hanya akan diberi separuh elaun.

Pekerja penjagaan kesihatan lain yang menangani wabak Covid-19, seperti petugas yang melakukan pemeriksaan kesihatan di pusat pemeriksaan sempadan dan petugas yang mengesan kontak rapat pesakit Covid-19 yang disahkan, masih akan dibayar elaun mengikut jumlah hari tugasan berkaitan wabak itu.

Walaupun begitu, pekeliling tersebut menyatakan bahawa ketua jabatan (seperti pengarah hospital dan pegawai kesihatan daerah) kini diberi budi bicara untuk memutuskan menambah kategori petugas yang layak mendapat elaun itu, walaupun mereka tidak disenaraikan dalam pekeliling KKM mengenai elaun tersebut.

Elaun itu pertama kali diumumkan oleh perdana menteri sebelum ini, Dr Mahathir Mohamad, dan pada asalnya ditetapkan pada RM400. Pengganti beliau, Muhyiddin kemudiannya menaikkannya kepada RM600 berkuat kuasa pada 1 April lalu.

Bagaimanapun, terdapat laporan sebilangan kakitangan perubatan sebelum ini memberitahu tidak semua petugas kesihatan layak mendapat elaun tersebut walaupun bekerja di barisan hadapan.

Tiada ulasan: