HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 April 2020

Petisyen lantik Mufti: Hormati kuasa YDPA

HARAKAHDAILY



KUALA LUMPUR: Pelantikan jawatan bagi Mufti Wilayah Persekutuan adalah kuasa dan hak Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di mana tindakan mengadakan petisyen awam telah membelakangkan peruntukan tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary mengingatkan, cara tersebut tidak sepatutnya dilakukan kerana ia tidak menghormati YDPA serta bukan budaya yang sihat.

“Saya harap semua pihak menghormati kerana itu adalah hak Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mufti. Adalah satu budaya yang sangat tidak sihat dengan adanya undi sokongan, petisyen dan sebagainya.

“Itu bukan amalan biasa. Kita harap perkara itu perlu dihentikan, kerana ia bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Petisyen tersebut difahamkan wujud berikutan kekosongan jawatan tersebut setelah Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad dilantik ke jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini.

Ustaz Marzuk berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bantuan tunai dan barangan daripada beberapa pihak kepada Madrasah Dinmiah Al-Bakriah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu, semalam.

Serahan daripada Tabung COVID-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu turut disertai EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Nassuruddin Daud.

Hadir sama adalah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dato’ Abdul Aziz Jusoh dan Zulkifli Abdul Rahman serta Pemangku Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Parihah Hasan.

Selain bantuan tunai RM10,000 kepada Madrasah, RM2,000 untuk Mudir dan Timbalan Mudir serta RM11,400 untuk tenaga pengajar, sumbangan kewangan YaPEIM juga diserah untuk keluarga di Jerteh yang kematian ketua keluarga akibat kemalangan.

Majlis tersebut telah berlangsung di Dewan Tok Kenali, Majlis Agama Islam Negeri Kelantan (MAIK). – HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: