HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 April 2020

Malaysia Ketika Di Bawah BN Tidak Terima Walau Satu Sen Dana Bagi Bantu Pelarian Rohingya – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR– Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan Malaysia ketika di bawah Barisan Nasional (BN) tidak menerima walau satu sen pun dana yang dijanjikan oleh negara luar bagi membantu pelarian Rohingya di negara ini.

Jelas beliau, bantuan tersebut dikatakan telah diterima oleh Malaysia ketika BN bukan lagi menjadi pemerintah.

“Saya sendiri telah mengusahakan bantuan daripada sebuah negara dan ketika BN memerintah, tidak ada satu sen pun bantuan itu diperolehi oleh kerajaan Malaysia atau masuk dalam mana-mana yayasan atau akaun peribadi seseorang… tidak ada langsung.

“Saya difahamkan bantuan itu telah dihantar ke Malaysia ketika BN tidak lagi menjadi pemerintah dan tentunya bantuan itu adalah usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan BN di mana saya sendiri telah memohon bantuan itu tetapi kita tidak bernasib baik kerana kita tidak lagi menjadi kerajaan.

“Perkara ini harus dijelaskan kerana saya tidak mahu timbul pelbagai tuduhan apatah lagi mereka yang menuduh itu menjadi orang yang menjana dosa kering terutama dalam bulan Ramadan ini. Saya harap pahala puasa dan ibadah mereka akan saya perolehi jika kebetulan orang yang menuduh dan buat fitnah itu bercakap tentang perkara yang tidak benar. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka dan saya sedia memaafkan jika mereka melakukan tuduhan di bulan Ramadan ini,” ujar beliau dalam satu sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn hari ini.

Untuk rekod, ketika Ahmad Zahid menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau telah mengumumkan bahawa Qatar antara negara Islam terbaru ketika itu tampil menyatakan ikrar memberikan penajaan dana untuk menyokong Malaysia dalam melaksanakan projek kemanusiaan membantu pelarian Rohingya.

Melalui kerjasama tersebut, Qatar menerusi Qatar Development Fund (QDF) akan menyalurkan bantuan kewangan kepada pelarian Rohingya yang mempunyai kad Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian UNHCR.

Dana itu akan digunakan untuk pelaksanaan tiga projek tumpuan iaitu memberi latihan kemahiran dalam sektor perladangan dan perkilangan; mengendalikan prasekolah dan sekolah rendah bagi anak Rohingya dan skim perlindungan insurans untuk rawatan dan perubatan. – UMNO ONLINE

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Tiada ulasan: