HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 April 2020

Pergerakan pulang pelajar bermula Isnin

Manzaidi Mohd Amin
MGF13032020_SIDANG-MEDIA-MENTERI-PERTAHANAN_10
Ismail Sabri Yaakob
 

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pagi ini, bersetuju membenarkan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) pulang ke kampung bermula Isnin ini.

Tanggungjawab itu diserahkan kepada Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr. Noraini Ahmad untuk membentangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) proses penghantaran pulang pelajar termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, waktu pulang dihadkan dari jam 9 malam hingga 9 pagi sahaja bagi memastikan perjalanan terkawal dan tidak melibatkan pergerakan besar-besaran.

“Pergerakan secara berperingkat ini hanya melibatkan perjalanan ke Zon Hijau sahaja dan mereka akan menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan dan topeng muka,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan persetujuan kerajaan untuk memberi sedikit kelonggaran perjalanan pulang bagi pelajar institut pengajian tinggi yang berada di kampus ke rumah masing-masing.

Ismail Sabri menjelaskan, kapasiti penumpang akan dihadkan separuh daripada jumlah sebenar bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi dalam bas.

“Contohnya, jika bas berkenaan dapat memuatkan 40 penumpang, tetapi untuk menghantar pulang pelajar ini hanya perlu 20 orang atau penumpang sahaja.

“Mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah atau Pejabat Daerah yang terdekat dengan rumah dan kemudian anggota agensi kerajaan yang ditugaskan akan menghantar ke rumah masing-masing.

“Bagi pelajar yang mempunyai kenderaan sendiri, dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan hanya seorang untuk setiap kenderaan,” katanya.

Katanya, sebelum membuat perjalanan, pelajar berkenaan perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan dari pihak IPT dan balai polis berhampiran.

Bagi pelajar yang berhasrat untuk pulang ke Sabah atau Sarawak, Ismail Sabri berkata, penerbangan pulang ke negeri masing-masing akan disediakan oleh kerajaan.

Bagaimanpun, ujarnya, pelajar yang akan pulang ke Zon Hijau di Sabah dan Sarawak akan diterbangkan ke lapangan terbang terdekat dengan kampung mereka dan mesti menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari.

Menurut beliau, proses penghantaran pulang akan melibatkan sebanyak 85 peratus pelajar bawah KPT atau sekitar 53,000 pelajar, manakala 15 peratus pelajar lagi telah memilih untuk kekal di kampus masing-masing.

“Mereka yang memilih untuk terus berada di kampus, KPT akan menyediakan makan minum seperti biasa dan pengumuman selanjutnya serta lebih terperinci mengenai pergerakan pelajar akan dibuat oleh kementerian.

“Bagi pelajar di IPT di bawah kawal selia kementerian lain seperti Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, proses penghantaran pulang perlu mengikuti SOP yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: