KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan kenyataan ‘tersasul’ Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Adham Baba tidak pun sampai merencatkan perancangan kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 sehingga perlu ditukar.
Naib Presidennya, Ustaz Idris Ahmad berkata ‘tersasul’ itu perkara biasa bagi setiap manusia semasa bercakap, namun sudah pun dibetulkan.
“Kesilapan atau ‘tersasul’ itu biasa bagi manusia. Kadang-kala kita sendiri tersasul begitu juga pimpinan PH (Pakatan Harapan) dahulu pun ada yang tersasul dalam sebutan.
Beliau berkata demikian apabila penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa menteri itu digantikan dengan Ketua Pengarah Kesihatan Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berikutan kesilapannya dalam satu kenyataan menerusi sidang video mengenai wabak Covid-19.
Terdahulu, Dr Adham dikritik hebat di media sosial kerana mendakwa beliau berurusan dengan 500 negara berhubung krisis Covid-19 sedangkan beliau bermaksud untuk menyebut 500 peserta dari seluruh dunia, namun perkara itu telah pun diperbetulkan dalam kenyataan berasingan.
Mengulas lanjut, Idris berkata kesilapan Dr Adham itu sama sekali tidak merencatkan segala perancangan atau strategi yang dibuat pihak Kementerian Kesihatan (KKM) atau kerajaan dalam membendung Covid-19.
Katanya, kenyataan itu tidak pun menyatakan penentangan terhadap perancangan kerajaan dan pihak yang terlibat dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19, bagaimanapun pendekatannya masih selari.
“Jadi tidak timbul persoalan perlu ditukar. Kita faham PH cuba untuk mencari isu kerana mereka (PH) melihat kejayaan yang dibuat oleh kerajaan PN (Perikatan Nasional) yang bertindak secara profesional dalam menangani Covid-19.
“Dapat lihat tindakan proaktif KKM dan kumpulannya termasuk Menteri yang bertungkus lumus mencari penyelesaian dengan masing-masing bertukar pandangan dan nasihat,” ujarnya.
Tambahnya lagi, meskipun Dr Adham baru dilantik menjadi Menteri, namun tindakan drastiknya menambah kakitangan kesihatan dan beberapa usaha lain perlu dipuji.
Sementara itu, Idris turut menasihati Lim kit Siang supaya lihat balik kenyataan dan tindakan Menteri Kesihatan (PH) dahulu dalam menghadapi peringkat awal Covid-19.– HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan