Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz
Wabak, PKP peringatan Allah bahawa usaha, kekuatan manusia kerdil
1. ALHAMDULILLAH,
kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan
inayahNya, Allah panjangkan umur kita, bertemu sekali lagi bulan pada
Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan.
2. Ramadan boleh dianggap sebagai
madrasah atau universiti tarbiyah di mana keluaran atau graduannya yang
lulus dengan cemerlang mengharapkan keampunan, rahmat dan kebebasan dari
api neraka sebagai ganjarannya.
3. Rasulullah ﷺ telah menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepada
kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Di mana Allah
mewajibkan kamu berpuasa, kerana pada bulan Ramadhan dibukakan semua
pintu syurga, dikuncikan pintu-pintu neraka dan di belenggukan syaitan,
dan juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan,
barang siapa diharamkan dan ditegahkan daripada mendapat kebajikan pada
malam ini, bererti tertegahlah ia dari segala bentuk kebaikan”.
4. Di tanah air kita, walaupun kita
menyambut Ramadan dalam keadaan kita dan seluruh dunia semuanya, sedang
berhadapan dengan wabak COVID-19, dan dalam Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP), kita sepatutnya lebih banyak menzahirkan kesyukuran kepada Allah
SWT dengan keadaan negara kita yang berada lebih baik dan beruntung
daripada kebanyakan negara-negara lain.
5. Wabak COVID-19 dan PKP yang sedang
kita alami, marilah kita jadikan sebagai peringatan dari Allah SWT
bahawa betapa kerdilnya usaha dan kekuatan manusia.
Allah menghantar makhluknya yang tidak
kelihatan dan satu dunia termasuk kuasa besar dunia tidak dapat mengawal
dan mengatasinya dengan segala kekuatan senjata mahupun kekayaan dan
teknologi.
6. Peringatan sedemikian, datang ketika
Ramadan kunjung tiba, menginsafkan kita bahawa segala kemuliaan,
kebesaran dan kekuasaan adalah milik Allah jua.
Keinsafan juga tentang kematian yang
tidak akan terlepas dari sesiapa jua baik pemimpin tertinggi negara atau
pun rakyat marhaen.
7. Ramadan menuntut kita untuk berubah;
keluar dari rutin seharian kita dengan sebenarnya, lebih penting
daripada perubahan ‘new normal’ akibat dari PKP ini.
Ramadan mengajar kita untuk
bersungguh-sungguh mencapai matlamat akhir iaitu bertaqwa dan ini dapat
dicapai jika kita berazam untuk berubah serta istiqamah dalam melakukan
amal ma’aruf, nahi mungkar.
8. Perubahan yang dituntut adalah bermula dengan diri kita, kemudian keluarga dan masyarakat seterusnya kepada negara.
Rebutlah peluang dalam bulan Ramadan ini
untuk kita bermuhasabah dan berazam menjadikan diri kita, keluarga,
masyarakat dan negara kearah keredhaan Allah SWT dalam semua perkara.
9. Kalau dalam keadaan sekarang, kita
berharap atau meminta PKP ditamatkan segera, ia amat berbeza dengan
Ramadan; sekiranya kita mengetahui kelebihannya sebagaimana sabda
Rasulullah ﷺ:
“Sekiranya umatku mengetahui kebesaran dan kelebihan Ramadhan, nescaya mereka akan meminta agar sepanjang tahun adalah Ramadan”.
10. Sempena ketibaan Ramadan tahun ini,
kami dari Parti BERJASA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat menjalani ibadah puasa
kepada muslimin dan muslimat.
11. Semoga Ramadan tahun ini adalah
Ramadan terbaik untuk kita dalam membuat perubahan sebenar kearah
kehidupan yang lebih bermakna demi mencapai keredhaan Allah.
Marilah kita menyambutnya dengan penuh
kegembiraan dan keinsafan disamping tidak melupakan saudara-saudara kita
di Malaysia dan di luar sana, yang mungkin tidak bernasib baik seperti
kita, dari segi aspek kesihatan, keselamatan, keamanan dan kewangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan