HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 April 2020

Bilangan kes discaj Covid-19 melebihi kes baru

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF210420_PC-KKM_06
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah 
 

PUTRAJAYA – Bilangan kes Covid-19 yang didiscaj hari ini melebihi bilangan kes baru.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 121 kes yang telah pulih dan dibenarkan keluar menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,663 kes.

Bagaimanapun, sehingga pukul 12 tengahari hari ini, terdapat 88 kes baru yang dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5, 691 kes.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 41 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 18 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 96 kes iaitu 1.69 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, kes kematian ke-96 iaitu kes ke-2978 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-1,345 yang mempunyai sejarah pulang dari negara Indonesia, katanya.

Tambah beliau, lelaki itu dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 31 Mac dan disahkan meninggal dunia awal pagi hari ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: