HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 April 2020

COVID-19: Tiada istilah kembali normal dalam masa terdekat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Kerajaan, rakyat bersatu sebagai satu ketumbukan bendung wabak

BANGI – Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia perlu bekerjasama sebagai satu ketumbukan sebelum negara pulih sepenuhnya daripada ancaman COVID-19 dalam tempoh enam atau 12 bulan dari sekarang, tegas Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu mengingatkan, sekiranya masyarakat gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat, tidak mustahil wabak berkenaan kembali semula dalam bentuk gelombang kedua dan akhirnya PKP terpaksa dilaksana sekali lagi.

Tegasnya, meskipun kadar kes sembuh adalah tinggi dan jumlah kes baharu semakin rendah, ia tidak bererti semuanya akan kembali normal dalam tempoh masa terdekat.

“Orang ramai masih dinasihatkan untuk tinggal di rumah melainkan atas keperluan yang dibenarkan.

“Setelah keadaan semakin pulih, PKP akan diangkat tetapi mereka masih perlu berpegang kepada norma-norma yang baharu seperti mengelakkan perkumpulan, penjarakan sosial dan menjadikan kerap membasuh tangan sebagai satu tabiat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Malaysia sudah pun memasuki fasa keempat pelaksanaan PKP yang menyaksikan negara kini berada dalam fasa pemulihan COVID-19.

Dengan keluk pandemik yang berjaya diratakan, serta peningkatan kes pulih COVID-19, keberkesanaan pelaksanaan tiga fasa PKP sebelum ini dapat dilihat hasil tindakan proaktif dan agresif kerajaan membendung penularan pandemik itu.

Bagaimanapun perlu diingatkan, perkembangan positif itu bukan bermakna rakyat boleh menarik nafas lega dan terus berasa selesa dengan tidak mematuhi PKP.


Tiada ulasan: