Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata arahan sama tertakluk kepada penuntut yang berada di zon merah dan mahu pulang ke rumah mereka di zon hijau.
“Kita sudah berbincang tadi supaya mungkin mereka boleh balik ke zon hijau di rumah keluarga terdekat seperti abang (kandung) atau rakan-rakan mereka yang berada di Kawasan tersebut,” katanya dalam sidang media, harian di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, termasuk politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dibenarkan pulang ke kampung secara berperingkat, bermula Isnin ini.
Kepulangan tersebut membabitkan seramai 53,000 atau kira-kira 85 peratus daripada keseluruhan penuntut.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata bagi pelajar bukan bawah KPT, institusi pendidikan tersebut perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian itu bagi penghantaran pulang pelajar mereka.
Katanya, maklumat lanjut berhubung SOP tersebut akan dimaklumkan oleh KPT dalam tempoh terdekat.
"Contohnya UniKL ia pelajar di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, jadi kita membenarkan kementerian lain menguruskan untuk membawa pelajar pulang IPT di bawah kementerian masing-masing.
“Tetapi menggunakan sop yang dikeluarkan oleh KPT dan saya percaya KPT akan membuat pengumuman yang lebih lanjut berhubung perkata itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan