HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 April 2020

Sabah belum benarkan dua orang bergerak satu kenderaan

BERNAMA
 
MOHD Shafie. FOTO Arkib NSTP
 

KERAJAAN Sabah belum membuat keputusan untuk membenarkan pergerakan dua orang dalam satu kenderaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti mana yang diumumkan kerajaan Persekutuan, hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keputusan yang dibuat kerajaan Persekutuan itu perlu diperinci dan dibincangkan terlebih dahulu dalam Pusat Arahan COVID-19 Sabah sebelum ia dilaksana di peringkat negeri ini.

"Kita perlu mengkaji kesannya terlebih dahulu. Sekiranya ia boleh dilaksana tanpa ada kesan buruk yang timbul kita akan laksanakan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan pakar perubatan daripada China di Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Shafie berkata, pergerakan dua orang dalam satu kenderaan hanya diberikan untuk tujuan tertentu khususnya dalam perkhidmatan yang dibenarkan sahaja.

Kerajaan Persekutuan hari ini memutuskan untuk memberi sedikit kelonggaran bagi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam PKP fasa keempat dengan membenarkan dua orang bergerak dalam satu kenderaan bermula hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka perlu terdiri daripada ahli keluarga daripada rumah yang sama, dan pergerakan itu bagi membeli makanan dan barang keperluan harian.

Tiada ulasan: