HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 April 2020

COVID-19: Pekerja asing wajar dapat subsidi, sumbang ekonomi negara - MRPMA

Wartawan BH
 
Naib Presiden MRPMA, Yeaw Kok Kwey.

   Naib Presiden MRPMA, Yeaw Kok Kwey.
 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pekilang-Pekilang Produk Getah Malaysia (MRPMA) mencadangkan supaya kerajaan turut menyalurkan pemberian subsidi upah kepada pekerja asing.

Naib Presidennya, Yeaw Kok Kwey, berkata ini kerana kebanyakan pekerja asing yang diambil bekerja boleh dipercayai, setia dan menjadi aset untuk menyumbang kepada produktiviti perniagaan.

"Terdapat kebimbangan bahawa subsidi juga harus diberikan kepada pekerja asing kerana menjadi aset kepada perniagaan, lebih-lebih lagi mereka yang memiliki kemahiran dan berpengalaman serta mudah dikendalikan.

"Ada persoalan adakah pekerja tambahan ini harus dihantar pulang?," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kok Kwey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan MRPMA, berkata jumlah subsidi yang diberikan kerajaan adalah rendah dan tidak mencukupi untuk memastikan perniagaan terus bertahan.

Katanya, oleh kerana masalah aliran tunai dan ekonomi yang berlaku pada era pra-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan tidak mempunyai tunai yang mencukupi untuk pembayaran gaji terlebih dahulu dan sebelum memohon subsidi.

"Terdapat petunjuk bahawa program ini sesuai untuk majikan yang merancang untuk mengurangkan gaji pekerjanya. Pembayaran subsidi hendaklah dilanjutkan hingga enam bulan dan bukannya tiga (kerana ia akan membantu mengurangkan aliran tunai).

"Berdasarkan peratusan gaji atau merangkumi 70 hingga 75 peratus daripada gaji kasar untuk semua pekerja, ia akan lebih kondusif untuk mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi penurunan pendapatan dan memerlukan lebih masa untuk memulihkan perniagaan mereka.

"Terdapat cadangan bahawa subsidi juga harus meliputi pekerja yang berpendapatan sehingga RM6000. Pra-syarat dengan kerugian penjualan 50 peratus atau lebih harus diubah untuk syarikat yang tidak beroperasi semasa PKP," katanya.

Beliau berkata, pembayaran subsidi juga perlu disegerakan dan mekanisme penyaluran subsidi (bila dan bagaimana) perlu diperjelaskan.

Katanya, permohonan subsidi yang dihantar pada 9 April masih belum diterima, sekali gus menyaksikan ramai yang tidak mempunyai tunai mencukupi untuk membayar gaji terlebih dahulu.

"Tiada garis panduan yang jelas untuk PKS, dan perkara yang berkaitan mengenai kerugian perniagaan melebihi 50 peratus untuk jangka masa yang sama adalah tidak jelas," katanya.

Kok Kwey berkata, kerajaan juga perlu melanjutkan moratorium bagi pinjaman selama enam bulan dengan mengambil kira kemungkinan PKP dilanjutkan sehingga akhir Mei.

Katanya, lanjutan moratorium itu adalah untuk membolehkan masalah semua pinjaman dapat diatasi selepas Mei.

"Untuk lebih membantu industri ini, kerajaan perlu pertimbangkan untuk mengembali dan mengecualikan pembayaran cukai pada tahun 2020 dan 2021 untuk kelangsungan perniagaan," katanya.

Tiada ulasan: