Di
sebalik rungutan ramai susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang
sudah lebih sebulan dilaksanakan bagi membendung penularan wabak
Covid-19, perintah itu memberikan hikmah terhadap alam sekitar, termasuk
Sungai Melaka.
Menurut penduduk di Melaka yang ditemubual oleh Malaysiakini, sungai yang menjadi tumpuan pelancong itu kini menjadi lebih jernih dan kawasan sekitarnya lebih tenang.
Salah
seorang penduduk, Thor Wei Yi, yang mengesahkan perkara itu berkata
kerajaan harus meneliti tiga punca yang menyumbang kepada pencemaran
sungai tersebut supaya dapat mengekalkan kebersihan Sungai Melaka
seperti sekarang.
“Pencemaran dan pembangunan dari hulu sungai,
saliran air dan kebocoran kerana sistem kumbahan yang tidak betul
mengalir ke sungai dan pencemaran air laut,” jelasnya.
Thor turut berkongsi dengan Malaysiakini gambar terbaru sungai tersebut yang lebih jernih berbanding sebelum PKP.
“Masalah
nombor satu yang dihadapi di kawasan ini adalah kesesakan trafik dan
kesesakan orang ramai, yang mana PKP membantu dalam menyelesaikan
masalah ini serta-merta.
“Masalah
lain merupakan pelancongan yang berlebihan, di mana terdapat banyak
perniagaan dibuka semalaman, yang diadakan khusus untuk pelancong, tanpa
meletakkan nilai tambahan kepada nilai warisan di kawasan tersebut,”
kata pengurus rumah tamu yang berusia 39 tahun itu.
Sebelum ini gambar kejernihan Sungai Melaka sewaktu waktu PKP tular di media sosial dan menarik perhatian ramai.
Keadaan
Bandaraya Melaka yang sering dikunjungi pelancong serata dunia
kelihatan lengang serta keadaan Sungai Melaka tenang apabila tiada
bot-bot yang membawa pelancong di situ.
Perkara sama turut dikongsi oleh Noorbaeyah Bakri, 35, yang juga penduduk di negeri Bandar Bersejarah itu.
“Tempat
kerja saya dengan Sungai Melaka sangatlah dekat. Jadi keadaan Sungai
Melaka sebelum ni agak kotor sedikit.. ramai pelancong yang hadir
majoritinya dari dalam dan luar negara.
“Sejak PKP ni, tiada lagi pelancong. Jadi keadaan sekarang Sungai Melaka makin bersih dan tenang.
“Kemungkinan
besar sebab kilang-kilang banyak ditutup. Jadi keadaan udara yang baik
dan Sungai Melaka tidak tercemar, kemungkinan juga sebab bot-bot tak
lagi lalu lalang,” katanya.
Noorbaeyah yang merupakan penyelia di
kedai penjagaan diri dan kesihatan, Watsons itu berkata, sebelum
penguatkuasaan PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu, sungai itu dalam
keadaan yang agak kotor dan berbau.
“Ia berpunca dari pembuangan
sampah dari penduduk dan pelancong. Kerja-kerja pembersihan ada
dilakukan, jika boleh kerap dilakukan. (Tetapi) semasa PKP ni tahap
kebersihan sungai bertambah baik,” katanya.
Kementerian perlu ambil perhatian
Sementara
itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata telah
tiba masanya pihak berkuasa terutamanya Menteri Alam Sekitar, Jabatan
Alam Sekitar dan pengurusan air di setiap negeri mengambil perhatian
mengenai perbandingan ketara kualiti air sungai sebelum dan semasa PKP.
Presidennya,
Shariffa Sabrina Syed Akil berkata sepanjang PKP yang akan memasuki
fasa empat, ia membuktikan pergerakan kilang-kilang dengan
serta-mertanya dapat berhenti beroperasi.
“Pelbagai
jenis kilang bermakna berhentinya aktiviti menghasilkan bahan buangan
ke dalam sungai, di mana amat berkaitan dengan kesan pencemaran alam
sekitar daripada sektor ini.
“Di antaranya ialah pencemaran sumber air di kawasan tapak perkilangan,” katanya kepada Malaysiakini.
Dakwanya pihak kilang akan biarkan sisa kumbahan serta bahan toksik yang beracun mengalir ke dalam sungai yang berdekatan.
Tambahnya, tindakan kilang tersebut secara langsung telah menyebabkan kehidupan sungai seperti ikan dan udang mati.
Untuk rekod, selain Sungai Melaka, Sungai Klang
turut menyaksikan perubahan yang sama apabila PKP telah membawa kepada
pengurangan sebanyak 43 peratus jumlah sampah yang dikeluarkan daripada
sungai itu.
“Pertukaran air Sungai Melaka yang menunjukkan warna
bersih ini
membuktikan bahawa selama ini penguatkuasaan pencemaran dan
pembuangan sisa toksik ke dalam sungai amat lemah dan membuktikan adanya
berlaku penyelewengan atau sememangnya kesedaran dalam penjagaan sumber
air bersih kita memang tidak dalam senarai keutamaan pihak berkuasa,”
katanya.
Beliau
berkata, sudah tiba masanya kerajaan meminda akta berkaitan alam
sekitar sedia ada yang disifatkan sebagai lapuk, serta mengkaji semula
penilaian impak alam sekitar (EIA), penilaian impak sosial (SIA), juga
mengetatkan hukuman denda dan penjara.
Terdahulu, Ketua Menteri
Sulaiman Md Ali menyeru semua pihak termasuk orang ramai supaya
mengekalkan keadaan Sungai Melaka yang kelihatan bersih ketika ini.
Beliau
berkata, keadaan Sungai Melaka yang bersih itu menunjukkan pelaksanaan
PKP oleh kerajaan mempunyai banyak hikmah untuk difikirkan dan diinsafi
bahawa kerosakan serta kebinasaan yang berlaku adalah akibat kerakusan
manusia.
Justeru beliau menyeru supaya semua pihak mencintai dan
memelihara alam sekitar serta sungai untuk kepentingan generasi akan
datang.
"Keadaan ini (Sungai Melaka bersih) berikutan pertamanya
tiada aktiviti seperti sebelum penularan Covid-19 berlaku di
persekitaran dan sepanjang Sungai Melaka akibat PKP; kedua di hulu
Sungai Melaka juga segala aktiviti tidak rancak berlaku akibat itu.
"Ketiga
segala aktiviti perjalanan bot persiaran tidak lagi beroperasi seperti
biasa di sepanjang sungai itu dan keempat bot persiaran menggunakan
bahan bakar diesel dan sistem penyejukan enjin juga menjadi punca
pencemaran kepada air sungai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sulaiman
juga berharap tahap kebersihan dan keindahan lokasi pelancongan menarik
di Melaka ini dapat terus dikekalkan bukan sahaja sepanjang tempoh PKP,
malah pada masa yang akan datang.
"Kita tahu sepanjang tempoh PKP
ini, tiada kemasukan pelancong dari luar ke negeri Melaka, malah
penduduk tempatan juga tidak boleh bebas bergerak.
"Sebab itu,
saya sudah mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan di Melaka supaya
menjadikan agenda meningkatkan tahap keindahan, kebersihan dan keceriaan
kawasan pentadbiran masing-masing sebagai keutamaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan