HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 April 2020

Kehidupan ‘abnormal’ Covid-19 perlu ditamatkan, kata Mohamad



APA yang berlaku ke atas kehidupan umat manusia kini akibat Covid-19 bukanlah new normal  atau normal baru tetapi sebaliknya disifatkan sebagai abnormality atau satu kejanggalan.

Menurut Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, kehidupan asasi, lumrah dan tabii setiap individu perlu dikembalikan dengan segera.

“Tidak solat berjemaah tidak mungkin akan menjadi ‘a new normal’. Ia adalah ‘abnormality’ yang mesti segera kita akhiri kerana kita sangat rindu dengan masjid, surau dan musolla kita serta para kariahnya.

“Tidak boleh memberikan penghormatan terakhir kepada mereka yang kita sayangi adalah ‘abnomal’ dan sangat asing. Ia bukan budaya dan cara kita berkehidupan. Kita mesti kembali boleh memandi, mengkafan dan melakukan solat terakhir untuk mereka yang sangat kita cintai.

“Sesungguhnya, seluruh umat Islam sangat merindui Ramadan yang meriah dengan amal soleh dan dengan ibadah tidak putus-putus serta dilakukan secara bermasyarakat,” kata Mohamad.

Mohamad berkata, ‘stay home’ atau tinggal di dalam rumah juga tidak boleh menjadi kelaziman baru yang berpanjangan kerana ia akan menjadi sesuatu yang tidak produktif terhadap perniagaan, pekerjaan dan keusahawan yang perlu diselamatkan.

“Persekolahan dan pembelajaran tidak lagi boleh tertunda. Kehidupan beragama, kegiatan sosial dan kelestarian komuniti kita mesti kembali sesuai adat, budaya dan resam masing-masing.

“Virus ini tidak boleh menenggelamkan tamadun, kemajuan, kebudayaan dan kehidupan beragama dan bermasyarakat kita,” kata Mohamad.

Menurutnya, kerajaan perlu mengumumkan segera strategi keseluruhan pemulihan Covid-19 dan fasa pelaksanaan dalam menghapuskan wabak maut itu.

Jelas Mohamad, sama ada Perintah Kawalan Pergerakan akan berakhir Mei ini atau tidak, masyarakat mesti segera difahamkan tentang pelbagai strategi pemulihan yang hendak dilaksanakan.

“Kerajaan telah mengumumkan bahawa beberapa sector ekonomi boleh beroperasi sepenuhnya. Ini adalah sebahagian dari “recovery strategy” yang tepat. Saya menyeru agar strategi keseluruhan dan fasa pelaksanaanya segera di umumkan.

“Agar kita punya masa untuk mendidik dan memberi kefahaman kepada rakyat tentang dua perkara. Pertama bagaimana kita harus menyesuaikan diri dengan ‘abnormality’ ini dan kedua, bagaimana kita mesti mengakhirinya,” tegas Mohamad.

Sementara itu, Mohamad berkata, semua pihak perlu melakukan peranan mereka sebagai individu, masyarakat dan rakyat dengan memerangi pandemik Covid-19 bersungguh-sungguh demi mengembalikan kehidupan lazim setiap insan.

Rakyat tidak seharusnya membiarkan Kementerian Kesihatan bersendirian memerangi wabak tersebut.

“Mulai sekarang, kita fahamkan kepada anak-anak dan keluarga kita, tanpa kebersihan peribadi, pandemik ini tidak akan berakhir. Tanpa penjarakkan sosial, ‘abnormality’ ini akan merampas kehidupan dan kebebasan kita. Sekolah tidak boleh berfungsi, perniagaan lumpuh dan pengangguran akan meningkat.

“Kita hanya ada satu misi waktu ini, iaitu mengalahkan pandemic pathogen dan mengakhiri fasa ‘abnormality’ ini dengan ‘recovery strategy’ yang seimbang, ampuh dan tuntas.

“Hanya dengan kejayaan misi ini, kita akan kembali kepada kehidupan ‘normal’ yang sesuai dengan fitrah, budaya dan citra masyarakat dan agama kita,” kata Mohamad.-SM

Tiada ulasan: