Kesemua mereka adalah pelajar yang terkandas di inapan siswa (INASIS) masing-masing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali, kesemua pelajar terbabit merupakan kumpulan pertama dari UUM yang dihantar pulang menerusi penghantaran kedua, selepas penghantaran pelajar dari Zon Tengah ke Zon Utara dilaksanakan pada Isnin.
"Pada malam ini, kita saksikan kumpulan pertama pelajar-pelajar dari Zon Utara, khususnya dari UUM, ke Zon Tengah 1, melibatkan lima buah bas. Pelajar-pelajar akan bergerak ke destinasi seperti Hulu Selangor, Kuala Langat, Sabak Bernam dan juga Gombak.
"Untuk pergerakan kali ini, kita gunakan konsep perkongsian pintar, yang mana pelajar kita menaiki bas yang disediakan oleh rakan institusi pengajian tinggi (IPT) lain dari Zon Tengah.
"Jadi, pergerakan Zon Tengah sampai pagi tadi. Sekarang ini, pelajar kita tumpang bas Zon Tengah untuk balik ke sana," katanya.
BACA: PKP: 53,000 pelajar IPT mula pulang pada Isnin - Ismail Sabri
BACA: Proses penghantaran pulang pelajar menaiki pesawat bermula 1 Mei ini - Ismail Sabri
Sementara itu, bagi pelajar Nurul Suhaizah Fazilah yang berasal dari Sabak Bernam, dia menzahirkan perasaan gembira memandangkan saat yang dinantikan sejak sekian lama, khususnya untuk bertemu dengan keluarga tercinta dalam menyambut kehadiran Ramadan, dapat direalisasikan.
Bagaimanapun, dia turut berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan lain yang tidak dapat pulang atas sebab tertentu memandangkan kebanyakan daripada mereka banyak memberikan bantuan secara fizikal dan mental terhadap satu sama lain, khususnya ketika mengharungi tempoh PKP.
"Mestilah gembira, sebab sudah lama tak jumpa keluarga. Keluarga juga sangat gembira sebab saya sudah sebulan lebih di sini. Saya rasa syukur dapat balik," kata penuntut UUM itu.
VIDEO: Pelajar IPT di Zon Tengah mula bergerak malam Isnin
BACA: PKP: 863 pelajar IPT mula pulang dari zon tengah ke zon utara malam ini
Seorang lagi penuntut, Saiful Hadi Jamal Suhaily, menyatakan dia amat berterima kasih khasnya kepada pihak kerajaan atas keputusan yang dibuat dalam membenarkan pelajar pulang, selain pihak UUM yang sentiasa memastikan kebajikan pelajar terjaga.
"Terima kasih kepada pihak UUM sebab jaga pelajar dari aspek keselesaan, dengan makanan percuma, tak perlu keluar duit banyak dalam tempoh PKP, makan cukup, Alhamdulillah, malah rasanya lebih, sebab sentiasa ada makanan.
"Terima kasih kepada pihak kerajaan jugak sebab beri alternatif untuk pelajar balik, walaupun sepatutnya tak boleh, sebab PKP masih diteruskan dan hari-hari ada kes. Tetapi Alhamdulillah kerajaan tetap benarkan pelajar balik untuk bersama keluarga tercinta," katanya.
Pada Selasa, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 88 pelajar dari empat universiti di Zon Utara akan bergerak pulang ke Zon Tengah pada malam tadi, merangkumi pelajar dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Sains Malaysia (USM); dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Merbok dan Pulau Pinang.
Sementara itu, lebih 4,878 pelajar lain pula akan bergerak pulang ke rumah masing-masing malam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan