HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 April 2020

Ahli keluarga daif dibantu Ebit Lew kembali semula ke rumah lama?

TIDAK sampai 24 jam pendakwah Ebit Lew membantu sebuah keluarga daif di Alor Setar, Kedah berpindah ke rumah sewa baru, dilaporkan sebilangan ahli keluarga berkenaan pulang semula ke rumah lama.

Timbalan ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Dakwah dan Kutipan) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Faizal Mustaffa berkata, masih ada dalam kalangan ahli keluarga terbabit tidak mahu keluar daripada rumah yang kotor dan tidak terurus itu.

“Pelbagai drama yang berlaku dirumah “Pak Aq” pagi ni. Kehadiran AJK Masjid dan orang kampung disambut dengan perkataan kesat oleh ahli keluarga “Pak Aq”.

“Semoga Allah mempermudahkan dan memberi kesabaran penduduk-penduduk kampung,” kata Faizal.



Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman menjelaskan, rumah tersebut didiami penerima bantuan zakat bernama Ishak Darus atau dikenali sebagai Pak Ishak sejak tahun 2007.

Berdasarkan siasatan LZNK, Pak Ishak mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja, tiga orang anak lelaki dan tujuh orang anak perempuan yang masing-masing berumur 33 tahun sehingga 17 tahun.

Lapan daripada 10 orang anak Pak Ishak tinggal bersama beliau di rumah tersebut bersama-sama 10 orang cucu yang menjadikan keseluruhan isi rumah yang tinggal di rumah yang daif itu seramai 20 orang.

“Usaha memujuk Pak Ishak sekeluarga untuk berpindah dari rumah yang tidak terurus di Lorong Gedebang tersebut dan tinggal di rumah baharu telah bermula sejak 12 tahun yang lalu dan telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk jiran-jiran di kampung tersebut, pihak masjid, pihak JKM.

“Juga tawaran dua buah rumah daripada pihak Kerajaan Negeri Kedah, namun bermacam alasan yang diberikan beliau untuk mengelak berpindah daripada rumah yang dibina di atas tanah orang tersebut,” kata Zakaria.



Jelas Zakaria, Pak Ishak juga telah ditawarkan rumah KEDA di Pokok Sena tetapi tetap ditolak oleh beliau sekeluarga atas pelbagai alasan.

Menurutnya, tawaran juga telah dibuat oleh tuan tanah rumah Pak Ishak dan satu salinan penghakiman dari Mahkamah Majistret telah dikeluarkan pada 5 Februari lalu yang mengarahkan Pak Ishak sekeluarga berpindah namun tetap menemui titik kegagalan.

“Kerana itu saya amat menghargai usaha Al-Fadhil Ust Ebit Lew dan pasukannya di atas kemahiran mereka yang berjaya memujuk keluarga Pak Ishak keluar daripada kediaman tersebut.

“Sesungguhnya niat murni ini amat disanjung dalam membantu pihak LZNK menyantuni lebih 15,773 orang asnaf yang ada di negeri Kedah (sehingga 21 April 2020) termasuk Pak Ishak dan masa depan anak-anak dan cucu-cucu beliau yang masih tidak mengerti apa-apa,” kata Zakaria.

Dalam perkongsian di Facebook, Ebit berasa hiba dengan nasib yang menimpa Pak Ishak sekeluarga yang tinggal dalam rumah yang penuh dengan sampah, kotor dan tidak terurus.

Pendakwa yang banyak menolong orang susah dan miskin itu berjaya mencarikan rumah sewa untuk keluarga tersebut dan berjanji untuk membayarkan sewa rumah selagi beliau masih hidup.

Perkongsian Ebit mendapat perhatian rakyat yang rata-rasa kasihan kedaifan rumah Pak Ishak dan keluarga.-SM

Tiada ulasan: