HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 April 2020

‘Arahan PKPD memang baik tapi kami tak sempat bersedia’

Kasthuri Jeevendran
MGF23042020_TINJAUAN-FLAT-SRI-MURNI_09
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjaga keselamatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 di Flat Sri Murni, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL
 

SELAYANG – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Selayang iaitu Pusat Bandar Utara dan sekitar pasar Borong Kuala Lumpur secara mengejut sejak Isnin lalu dibuat bagi mengelakkan warga asing di sana ‘lari’.

Bagaimanapun ia mengundang pelbagai rasa tidak senang kepada rakyat tempatan.

Malah perintah PKPD secara mengejut itu menyebabkan kebanyakan penduduk setempat hilang ‘arah’ terutama bagi mendapatkan keperluan asas termasuk bekalan makanan serta ubat-ubatan.

Hampir setiap hari kita boleh mendengar keluh kesah mereka khasnya di Pusat Bandar Utara di sini yang dipercayai diduduki hampir 16,000 penduduk Malaysia dan warga asing terutama isu bekalan makanan dikatakan hanya mula diagihkan sejak semalam selepas hampir tiga hari PKPD dilaksanakan.

MalaysiaGazette yang melakukan tinjauan di sekitar kawasan Taman Sri Murni Fasa 1 hari ini mendapati penduduk tempatan melahirkan rasa bimbang, sedih, takut dan cemas dengan apa yang berlaku di kawasan mereka.
MGF23042020_TINJAUAN-FLAT-SRI-MURNI_14
Penduduk hadir bagi menjalani saringan kesihatan susulan 
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan 
penularan wabak Covid-19 di Flat Sri Murni, Selayang, Selangor. 
foto FAREEZ FADZIL
Bagaimanapun, masing-masing bagaimanapun tetap melahirkan rasa syukur dengan komitmen kerajaan dalam membendung wabak pandemik Covid-19 ketika ini yang dipercayai sudah dijangkiti di kawasan mereka.

Pada mereka, PKPD itu adalah sesuatu yang ‘patut’ bagi memastikan setiap nyawa dapat dilindungi dan selamat dari terus menularnya wabak itu namun pada masa sama kecewa kerana ketiadaan makanan asas.

Menurut Wan Nur Betty Nadia Wan Nor Ghazali, dirinya cukup terkesan dengan keadaan keadaan ‘terkurung’ secara mengejut lagi-lagi ianya dilakukan tanpa sebarang notis yang membolehkan penduduk membuat persediaan.
MGF23042020_TINJAUAN-FLAT-SRI-MURNI_01
Penduduk, Wan Nur Betty Wan Nor Ghazali.Foto FAREEZ FADZIL
“Kita setiap hari dengar kerajaan beri jaminan tidak ada sebarang keperluan untuk pembelian panik, jadi tentulah kita tidak stok makanan banyak-banyak. Sekadar yang perlu sahaja. Kita tidak simpan bekalan banyak dalam rumah.

“Semalam, kita dapat sedikit bekalan seperti beras, minyak dan tepung. Tapi susahlah hendak masak kerana bahan lain seperti telur, ikan bilis, sardin semuanya tidak ada. Kita tidak minta banyak-banyak, cukup yang asas.

“Ada juga yang kehabisan gas di rumah, bekalan mentah tiada, bagi yang ada anak-anak kecil, pampers juga habis, ada juga orang dewasa terutamanya warga emas mungkin perlu pakai pampers.

Tiba-tiba semua tiada, susah kami. Kami minta tolonglah tengok isu-isu ini,” katanya ketika ditemui di luar kediamannya hari ini.

Kata Wan Nur Betty lagi, beliau termasuk ahli keluarga malah semua penduduk setempat cukup faham dan menghormati keputusan kerajaan dalam mengisytiharkan lokasi mereka sebagai PKPD.

“Kawasan Taman Sri Murni banyak warga asing jadi PKPD bagus, saringan juga ada sekurang-kurangnya wabak tidak menular tapi dalam masa yang sama tolonglah lihat isu bekalan makanan kami sekali, itu sahaja saya mohon,” rayunya.
MGF23042020_TINJAUAN-FLAT-SRI-MURNI_03
Penduduk, Mohd Badri Hamza.Foto FAREEZ FADZIL
Manakala bagi Mohd Badri Hamza pula, isu penduduk setempat ‘kebuluran’ itu tidak tepat sebaliknya mereka hanya kehabisan bahan bekalan makanan khasnya barangan mentah.

“Untuk seminggu mungkin kami masih ada bahan-bahan lagi tapi bagaimana minggu seterusnya? Kami tidak dapat apa-apa notis mahupun sebarang makluman dari kerajaan walaupun sudah masuk hari keempat.

“Pada hari kedua, saya dapat tahu ada juga jiran tingkat atas hanya hanya sekadar makan biskut selama dua hari. Kami yang hendak bantu pula, kami sendiri pun ada masalah dengan bekalan makanan.

“Terima kasih hari ketiga kami dapat sedikit bantuan seperti beras, tepung dan minyak. Tapi apa pula kami hendak buat tanpa bekalan asas lain? Sekurang-kurangnya ada kedai untuk kami beli barang, kami boleh guna duit kami sendiri, kami hanya mohon sediakan bekalan asas ini.

“Di sini sebenarnya banyak rakyat tempatan yang memerlukan bantuan, kerajaan perlu berbuat sesuatu. Usaha murni kerajaan dalam bendung Covid-19 kami hargai tapi dengar juga masalah kami.

“Kawat duri untuk halang warga asing melarikan diri bagus tapi tengok juga isu kami ini terutamanya hal berkaitan bekalan makanan, ada dua minggu lagi, kalau fikir kami takut,” ujarnya.
MGF23042020_TINJAUAN-FLAT-SRI-MURNI_06
Penduduk, Liew Wai Meng di Flat Sri Murni, Selayang, Selangor. 
foto FAREEZ FADZIL
Sementara itu, bagi Liew Wai Meng, beliau bersama anak-anak kecilnya terpaksa makan bercatu dan mengikat perut kerana bekalan yang ada semakin kehabisan.

“Kami makan sikit-sikit, minum sikit-sikit takut habis. Anak-anak makan roti sekeping sahaja.
Memang kami dapat bantuan tapi sangat lambat dan sedikit sahaja. Ada beras, minyak dan tepung.
Kami mahu juga telur, sayur dan lain-lain. Apa kami mahu makan?

“Memang banteras Covid-19 tapi makanan juga satu keperluan. Kami faham sangat apa kerajaan buat, apa polis buat untuk keselamatan. Lockdown bagus tapi kami perlu makan, anak-anak kami perlu makan,” tegasnya.
MGF23042020_TINJAUAN-FLAT-SRI-MURNI_08
Penduduk, Mohamad Azhar Arif di Flat Sri Murni, Selayang, 
Selangor. foto FAREEZ FADZIL
Bagi Mohd Azhar Arif pula, untuk beberapa hari sebelum tiba bantuan, memang ramai juga hampir kebulur kerana bekalan makanan tidak mencukupi.

“Tetapi ada hikmah jugalah. Jiran-jiran saling ambil tahu dan bantu apa yang perlu. Kita ada group whatsapp masing-masing. Jadi, kita hulur apa yang perlu. Bantuan tiba lambat sangat dan tidak cukup.

“Bila bantuan sampai, ada juga tidak adil. Ada blok tertentu dapat bekalan lebih, ada dapat sedikit. Macam di Fasa 1 Taman Sri Murni, ramai juga warganegara asing, jadi bantuan juga sikit.

“Tapi jangan lupa ramai juga warganegara Malaysia. Kalau boleh bagilah secara adil dan sama rata, kami semua menderita. Itu sahaja kami pinta. Bila bagi makanan tidak sama rata, kamu boleh tengok bagaimana ‘makcik-makcik bawang’ luah perasaan mereka, rasa tidak harmoni langsung,” jelasnya.
MGF23042020_TINJAUAN-FLAT-SRI-MURNI_17
Penduduk, Ganga Devi di Flat Sri Murni, Selayang, Selangor. 
foto FAREEZ FADZIL.
Bagi Ganga Devi pula, ada juga makanan yang dihantar kepada mereka sudah basi.

“Apa yang kami boleh makan? Hanya semalam kami dapat paket beras, tepung gandum dan minyak masak tetapi bahan asas lain tidak dapat seperti telur, bawang, sayur atau sardin. Sekurang-kurangnya kami boleh masak sendiri.

“Atau berilah kami makan dengan secukupnya, jika tidak dalam tempoh lockdown dua minggu kami pasti merana. Kita ikut arahan kerajaan duduk rumah, jaga diri dan sebagainya tapi kami juga perlu bantuan lain,” ujarnya.

Sementara itu, Felicia Arul Dass pula melahirkan rasa sayu anak-anaknya malah kanak-kanak mahupun warga emas di Taman Sri Murni itu terpaksa ‘mengikat perut’ ketika ini.
MGF23042020_TINJAUAN-FLAT-SRI-MURNI_19
Penduduk, Felicia Arul Dass di Flat Sri Murni, Selayang, 
Selangor. foto FAREEZ FADZIL
“Memang kami tidak sangka dan tidak bersedia. Kami hendak sama-sama bantu kerajaan lawan Covid-19 supaya tidak menular tapi kami sendiri apabila PKPD menderita. Jangan ingat senang, susah sebenarnya.

“Ibu mana tidak sayu tengok anak-anak merengek minta makanan? Sekurang-kurangnya bagilah makanan asas, cukup pandailah kami buat sesuatu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyedari masalah yang dihadapi penduduk dan mendapati ia berpunca daripada masalah salah faham.

BACA: Salah faham mungkin punca isu agihan makanan tak sampai

Justeru, beliau yakin ia dapat diselesaikan selepas ini kerana kawasan itu ada pusat operasi bagi memantau proses arahan PKPD.- MalaysiaGazette
PKPD: Penduduk Taman Sri Murni mengadu ketiadaan akses kepada makanan

Tiada ulasan: