PUTRAJAYA: Kesemua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan telahpun diwartakan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya ingin maklumkan bahawa Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telahpun diwartakan.
“Saya jelaskan di sini kerana PKP sebelum ini, ada seorang peguam menulis mengatakan bahawa PKP tidak diwartakan, saya nak maklumkan bahwa setiap PKP daripada PKP Fasa Pertama, PKP Fasa Kedua, Ketiga dan Keempat, kerajaan mewartakan.
“Kalau tak wartakan, tindakan undang-undang tidak boleh dikuatkuasakan, jadi kita wartakan sebelum PKP tersebut berkuatkuasa dan dilaksanakan,” ujarnya dalam satu sidang media harian PKP di sini, hari ini.
Jelasnya, PKP Fasa Keempat juga turut diwartakan berkuatkuasa 29 April sehingga 21 Mei ini.
Mengulas lanjut, menurut Ismail Sabri, PKP Fasa Keempat akan menyaksikan beberapa kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) berbanding fasa sebelum ini.
Antaranya, terdapat kelonggaran dari aspek menaiki kenderaan dimana kini sudah dibenarkan untuk menaiki kenderaan berdua dengan syarat kedua-dua individu dari kediaman yang sama dan keluarga terdekat.
Sementara itu, SOP seterusnya bagi Fasa Keempat akan diumumkan esok setelah mendapat kata sepakat dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselematan Negara (MKN).- HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan