Ini susulan serangan bertali arus yang mengkritik dan mengecam pelarian Rohingya dipercayai berpunca daripada satu berita palsu yang mendakwa etnik itu menuntut hak sama rata dan kerakyatan penuh di negara ini.
“Cubalah letakkan diri kita di tempat saudara kita yang terpaksa melarikan diri dari tanah air mereka seperti pelarian Rohingya ini,” kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor kepada FMT.
Katanya, umat Islam di Malaysia sentiasa dikurniakan nikmat keamanan dan keselamatan. Malah, ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berjalan, tiada pihak yang ketinggalan dalam mendapatkan keperluan asas bagi kehidupan harian.
Atas sebab itu, beliau menyeru agar mereka berlembut hati terdahap nasib malang yang menimpa umat Islam di negara lain.
“Lebih-lebih lagi terhadap saudara seakidah yang ditindas dan dizalimi.”
Selepas presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) Zafar Ahmad Abdul Ghani menjadi mangsa kepada penyebaran berita palsu, rata-rata pengguna media sosial dilihat mula menggesa Putrajaya menghantar etnik itu pulang semula ke negara asal, iaitu Myanmar.
Bagaimanapun, Wan Salim berkata, tindakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menolak bot yang membawa pelarian Rohingya adalah demi kedaulatan dan keselamatan negara.
“Cuma kita harapkan pihak kerajaan dapat bertindak secara waras dan berperi kemanusiaan dalam menangani isu pelarian Rohingya.
“Ini bagi mengelakkan tragedi kemanusiaan berlaku ke atas mereka,” katanya.
Sementara itu, Mufti Pahang Abdul Rahman Osman berkata, isu membabitkan komuniti Rohingya di negara ini sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu yang berniat untuk melaga-lagakan komuniti itu dengan rakyat Malaysia.
Baginya, rakyat Malaysia secara tidak langsung perlu membantu komuniti Rohingya kerana mereka merupakan golongan yang secara jelas memerlukan bantuan, setelah terpaksa lari dari negara asal selepas mendapat ancaman.
“Pada bulan Ramadan ini, kita hentikanlah berbalah atau memburukkan antara satu sama lain dalam mana-mana media sosial. Berpuasa ini tujuannya adalah untuk membersihkan hati, serta perlu juga menahan lidah, mata dan telinga.
“Jika tidak, apa yang kita lakukan ini hanyalah semata-mata menahan lapar dan dahaga sahaja.
“Kenapa hendak besar-besarkan benda ini, sedangkan isunya tidak ada. Saya tidak nampak. Mungkin ada seorang atau 2 orang Rohingya ini yang mengeluarkan kenyataan tertentu, tetapi ia hanya dilakukan orang itu sahaja, bukan semua mereka.
“Dalam isu Rohingya, kita sebagai umat Islam sepatutnya balaslah kejahatan dengan kebaikan, seperti dalam hadis Rasulullah yang menyebut kita kena membantu orang yang dizalimi serta mencegah kezaliman,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan