HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 April 2020

Pembantu kesihatan awam didakwa ingkar PKP, tumbuk polis di sekatan jalan

Tertuduh didakwa menghalang P Thiruselvam melakukan 
pemeriksaan di sekatan jalan dengan menyerang dan menumbuk 
anggota polis itu.
 
KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kesihatan awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menghalang dan menumbuk anggota polis di sekatan jalan serta melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Mohamad Alif Syazwan Roslan, 27, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Majistret M Saravanan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Alif Syazwan didakwa menghalang P Thiruselvam menjalankan tugas hakikinya, iaitu melakukan pemeriksaan di sekatan jalan dengan menyerang anggota polis itu dan menumbuk penjawat awam berkenaan ketika melaksanakan tugasnya.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melanggar PKP dengan bergerak dari Taman Sri Watan ke Batu 4 Jalan Ampang yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan bukan bertujuan melakukan mana-mana perkara diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Batu 4 Jalan Ampang pada 6.15 pagi 24 April lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin mencadangkan ikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan terhadap tertuduh.

Peguam P Muniswer yang mewakili Mohamad Alif Syazwan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai pembantu kesihatan awam turut membantu mengambil dan mengumpul sampel darah kes Covid-19.

Katanya, tertuduh juga menanggung 2 anak yang masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun untuk sebutan semula kes.

Tiada ulasan: