HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 April 2020

Amran Tompel terlantar akibat strok lebih sebulan

Oleh Mohd Amin Jalil
 
Amran Tompel terbaring sejak diserang strok. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil
Amran Tompel terbaring sejak diserang strok. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil
 
SEREMBAN: “Sekarang ayah sudah tak boleh uruskan diri sendiri selepas mengalami strok (angin ahmar) bulan lalu,” kata Shafiq, 26, anak pelakon dan pelawak, Amran Aman Ramlie atau lebih dikenali Amran Tompel.

Amran Tompel, 70, kini terlantar akibat serangan strok sejak lebih sebulan lalu di rumah sewa anaknya di Taman Matahari Height Senawang di sini.

Beliau yang pernah mewarnai industri lakonan tanah air sekitar 1990-an hingga 2014, sebelum ini pernah beberapa kali diserang angin ahmar dan mengalaminya kali kedua sejak peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Shafiq berkata, kejadian strok itu berlaku di rumah berkenaan dan ayah terus dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ).

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, ayahnya berada di hospital itu selama seminggu dan kemudian dipindahkan ke Hospital Daerah Jelebu, Kuala Klawang Jelebu.

“Bagaimanapun, saya meminta kelulusan pihak hospital untuk membawa ayah balik ke rumah bagi memudahkan saya dan adik-beradik lain menjaganya.

“Tambahan pula ketika PKP ini sukar untuk bergerak dan pihak hospital memberikan kebenaran.

“Namun, saya perlu menjaga beliau dengan baik termasuk memastikan aktiviti fisioterapi dibuat setiap hari sebagai satu daripada kaedah rawatan yang diperlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Shafiq berkata, ketika ini ayahnya sukar untuk menguruskan diri kerana hanya terlantar di katil.
Malah katanya, ayah juga tidak boleh makan kecuali minum sahaja.

“Apabila ayah menyuap makanan, beliau akan muntah semula, mungkin perutnya tidak dapat menerima makanan dan saya hanya memberikan susu,” katanya.

Shafiq berkata, hingga kini banyak pihak membantu ayahnya termasuk bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian dan wang tunai.

Katanya, terdapat juga pihak mendermakan katil khas dan peralatan elektrik.

Antara pihak tampil membantu termasuk Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (PBMalNS MAINS), selain masyarakat setempat membabitkan bantuan lampin pakai buang, makanan asas dan wang tunai.

Tiada ulasan: