Walaupun
hidup sebagai pelarian dan terpaksa menyerah nasib dengan menumpang di
negara orang, namun ia bukan alasan untuk gadis warga Rohingya untuk
tidak memilih bahagia.
Umumnya mereka memang berdepan dengan ketidaktentuan nasib sejak dari dalam rahim ibu masing-masing lagi. Apabila semakin membesar, kadang-kadang berserah kepada takdir di tengah laut.
Dapat menjejakkan kaki di tanah orang - seperti Malaysia - kemudiannya adalah sinar harapan baru. Ia tentu akan bertambah indah jika dapat mendampingi pasangan hidup bergelar suami.
Menariknya, apabila selamat tiba di Malaysia, seseorang gadis etnik Rohingya secara langsung mempunyai 'nilai tinggi' dan mahal di mata lelaki senasib mereka di negara ini.
Justeru, bukanlah aneh untuk seorang lelaki Rohingya di Malaysia sanggup mengeluarkan kos yang tinggi untuk mengahwini gadis terbabit sebagai pilihan pendamping hidup walaupun berstatus pelarian.
Untuk bergelar suami isteri, mas kahwin yang perlu dilunaskan lelaki Rohingya dalam bentuk wang tunai atau barangan kemas boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.
Ada beberapa faktor yang diambil kira bagi menentukan kadar mas kahwin berkenaan. Misalnya, kos dan cabaran kedatangan gadis Rohingya terbabit ke Malaysia, umur, kebolehan dan paras rupa.
Nisbah lelaki, perempuan berbeza
Ia dibuat melalui perjanjian lisan di antara wakil keluarga gadis itu dengan bakal suaminya.
Malaysiakini berkesempatan menyelami cabaran lelaki Rohingya untuk berkeluarga di sebalik kehidupan dalam pelarian mereka khususnya di Kelantan.
Bagi Martullah Abu Bakar Siddik, 30-an, dia menerima hakikat bahawa memang lumrah dalam kalangan pemuda Rohingya untuk bekerja keras dan gigih menabung untuk mendanai perkahwinan masing-masing.
Katanya, walaupun dalam berdepan pelbagai kegetiran dan bersusah-payah mereka tetap sanggup menyediakan mahar yang tinggi demi memiliki seorang suri hidup.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mas kahwin
perlu ditanggung oleh pihak lelaki kebiasaannya mencecah RM10,000. Ini
nilai biasa, tapi ada juga hingga mencecah RM15,000 atau RM20,000, malah
RM25,000," katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.
"Misalnya adik ipar saya baru berkahwin pada awal Mac lalu dengan mas kahwin RM15,000.
"Isterinya itu tiba di Malaysia kira-kira dua minggu sebelum perkahwinan mereka," katanya.
Bagi pasangan Shah Alam Goni Mia, 19, dan Yasmin Abdul Kader, 18, (gambar atas) perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang mungkin menjejaskan pencarian rezeki mereka.
Namun pada masa yang sama PKP juga memberi ruang kepada mereka 'berbulan madu' dengan cara tersendiri. Mereka baru saja diijabkabulkan seminggu apabila PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.
Nilai mas kahwin dipersetujui
"Alhamdulillah akhirnya saya dapat mengahwini Yasmin. Kawan-kawan dan kakak ada tolong juga. Saya tak cukup duit RM15,000 jadi mereka bagi pinjam.
"Sebelum Yasmin datang ke Malaysia, saya sudah berjanji untuk beri mas kahwin RM15,000. Lepas dia sampai sini, tidak lama kami pun berkahwin," katanya.
Sebagai rekod, apabila pasangan Rohingya berkahwin mereka akan diberikan sijil pengesahan nikah yang dikeluarkan oleh Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia.
Selain Shah Alam, adik perempuannya juga sedang bersiap-siap dinikahkan. Kini berusia 14 tahun, adik Shah Alam bakal bergelar isteri pemuda senegara mereka apabila PKP ditamatkan nanti.
Kata Shah Alam, walaupun masih muda, adiknya itu sudah bersedia untuk berkahwin dan belajar untuk menguruskan rumah tangga.
"Walaupun masih muda, dia sudah pandai memasak, sudah belajar fardu ain dan hal-hal berkaitan tanggungjawab sebagai seorang isteri.
"Memandangkan usianya masih muda itulah maka mahar yang ditetapkan untuknya lebih tinggi dan ia sudah dibincangkan serta dipersetujui bakal suaminya," jelasnya.
Pemuda berusia 24 tahun itu berkata, bakal isteri saya baru tiba di Malaysia, iaitu sebelum PKP mula dikuatkuasakan dulu.
"Dia ada di Ipoh, Perak dan tak sempat sampai ke Kota Bharu. Saya harap masalah Covid-19 di sini cepat selesai dan saya boleh berkahwin dan bekerja seperti biasa.
"Saya berjanji untuk memberi mahar RM15,000 kepada bakal isteri, insya-Allah saya sudah kumpul sejak lima tahun lepas dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan