DATUK Seri Najib Tun Razak disifatkan mempunyai tahap kesabaran tinggi, walaupun diasak berterusan termasuk dari dalam parti UMNO dan pemimpin negara terdahulu.
Kesabaran beliau dikatakan benar-benar teruji dan terlihat ketika Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018.
Ini kerana pada ketika itu beliau disifatkan tenang menghadapi cabaran tersebut dan dilihat tidak terlalu mengejar kuasa.
“Bila kalah, dia tidak membuat reaksi balas padahal dia boleh mengumpulkan askar, buat darurat. Beliau boleh buat.
“Boleh buat tunjuk perasaan tetapi beliau lepas, demokrasi sudah buat keputusan.
“Malam itu juga orang sudah kacau. PH, polis sudah kacau beliau. Macam-macamlah kita tengok kalau hendak diulang balik memang itulah bendanya.”
Kata bekas wakil rakyat UMNO, Datuk Zainal Abidin Sakom kepada Suara Merdeka yang menyifatkan tiada pemimpin mampu berdiri seperti bekas Perdana Menteri itu.
Menurutnya, tahap kesabaran yang dimiliki Najib juga tidak dapat ditandingi pemimpin lain apabila kini menjadi penyumbang kepada kemenangan enam Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.
“Melampau. Kemudian ditekan oleh UMNO, beliau melepaskan jawatan Presiden. Beliau kata, sekarang ini, ‘saya Najib, saya tak mahu Najib ini akan merosakkan UMNO. Saya keluar.’
“…’biar saya mempertahankan diri sebagai ‘Najib’. UMNO bersih.’ Sebab UMNO bukan manusia, ia sebuah parti.
“Dia tak ada salah apa-apa, jadi biar UMNO berjalan.
“Lepas itu dengan tenang, Allah bantu beliau, ‘bossku’ dengan satu-satu datang.
“Saya tak pernah jumpa orang macam ini. Sabarnya, tenangnya, istiqamahnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan Ahli Parlimen Pekan itu sebagai bijaksana dalam berhadapan tohmahan dan tidak mudah ‘sentap’.
“Jadi maksud saya ialah beliau ini, dalam praktikal sabar yang orang agama kita tengok ustaz-ustaz kalau usik sikit melambung bantai, tak ada melawan.
“Dr. Mahathir cakap dia macam-macam, tak melawan dan kalau beliau lawan pun menggunakan fakta tak ada membohong.
“Itulah Najib, saya tengok beliau berjaya diuji dan kemenangan-kemenangan (PRK) yang berlaku ini memang orang kata UMNO.
“Tetapi belum boleh UMNO bercakap macam itu, masih ‘bossku’.
“Jadi saya cakap, orang politik belajarlah jadi orang bijaksana macam Najib,” katanya.
Malah menurut Zainal Abidin lagi, kesan kepimpinannya dapat dilihat apabila kerajaan yang mengambil alih (Pakatan Harapan) tidak mampu buat seperti yang dilakukan Najib.
“Saya melihat, terbukti tugasnya dahulu dan orang yang kata dia tak betul akhirnya apabila mengambil alih tempatnya (kerajaan) tak boleh buat macam dia buat.
“Bahkan, menggunakan pendekatan menyalahkan beliau, akhirnya selalu sangat cakap salah, orang jadi kasihan.
“Di samping kata salah, dikerjakan pula itu. Di bawa ke mahkamah sampai beratus-ratus tuduhannya,” jelasnya.
Tambah beliau, cabaran yang dihadapi pemimpin terutama apabila memegang jawatan Perdana Menteri tidak lekang daripada melakukan kesilapan.
Menurutnya, dalam situasi bekenaan tidak mustahil wujud pihak yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan peribadi.
“Jadi kita berdoa, Allah SWT akan mengampunkan kalau beliau ada salah silap. Sebagai seorang pemimpin, satu hari tak tahu berapa ribu keputusan beliau kena buat.
“Bila orang tanya, ‘boleh ke tidak Yang Amat Berhormat’, ‘nanti sebulan saya boleh jawab’. Ini kadang-kadang orang itu hendak masa itu juga, yes or no.
“Beribu (keputusan), itulah kerjanya. Tentu ada perkara tak betul, orang ambil kesempatan,” ujarnya.
Jelas Zainal lagi, kelasakan Najib berpolitik kerana sifat peribadinya yang sentiasa menjadi seorang pendengar.
Justeru, menurutnya sifat sedemikian wajar dicontohi pemimpin politik lain terutama apabila bertemu dengan orang awam secara peribadi.
“Masa saya (berjumpa dengan Najib) dahulu, bila kita bercakap dengan beliau, beliau dengar. Kemudian baharu dia menjawab.
“Kebanyakan ahli politik, masa sudahlah 10 minit, kita sampai dekat dia, dia bersyarah dekat kita. Kita apa pun tak dapat sampaikan dekat dia.
“Jadi belajarlah bertenang…belajar bertenang,” nasihatnya. – SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan