HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Julai 2020

Pemimpin PBS persoal niat buruk DAP berkait dakwaan lompat parti

Baru-baru ini pemimpin DAP Sabah mendakwa jutaan ringgit ditawarkan bagi
memujuk wakil rakyat kerajaan pimpinan Warisan supaya berpaling tadah.

KOTA KINABALU: Seorang Adun Sabah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan pemimpin DAP negeri itu bahawa mereka ditawarkan wang supaya berpaling tadah.

Adun Kiulu Joniston Bangkuai daripada PBS berkata, pemimpin DAP memilih untuk membuat dakwaan secara terbuka, bukannya membuat laporan rasmi, sekali gus mendedahkan niat buruk mereka.

“Dakwaan bahawa Adun penyokong kerajaan Warisan ditawarkan berjuta-juta ringgit supaya melompat parti hanyalah penipuan yang bertujuan memburukkan musuh politik mereka. Kerajaan kamu dibentuk oleh wakil rakyat yang melompat parti atas sebab yang hanya diketahui oleh diri mereka sendiri,” kata Bangkuai dalam satu kenyataan.

DAP Sabah mendakwa 7 Adun ditawarkan wang dan jawatan supaya berpaling tadah berikutan desas-desus bahawa kerajaan negeri akan jatuh ke tangan pembangkang.

Joniston Bangkuai

Dua Adun terbabit, iaitu Jannie Lasimbang dan Calvin Chong berkata, laporan polis telah dibuat selepas mereka dikunjungi oleh individu yang didakwa sebagai “ejen politik” daripada “pihak sebelah” sepanjang 2 hari lepas.

Terdahulu presiden Pari Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan membidas pemimpin DAP dan Warisan kerana kenyataan terbuka mereka berhubung dakwaan itu.

Beliau menggesa supaya mereka berhenti menuduh bekas ketua menteri Sabah Musa Aman cuba memujuk Adun kerajaan dan menyifatkan dakwaan bahawa “ejen politik” menawarkan wang dan jawatan kepada Adun sebagai “cerita dongeng”.

Tiada ulasan: