KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menunjukkan keikhlasan dalam kepimpinannya mentadbir kerajaan Perak apabila meminta semua pihak tidak terus memanjangkan permasalahan politik.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, Menteri Besar Perak itu sentiasa mengambil berat masalah ekonomi dan kesihatan rakyat dalam keadaan negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Beliau (Ahmad Faizal) menunjukkan keikhlasan dan kepimpinannya apabila beliau berkata bahawa dalam waktu kita semua sedang menghadapi keadaan yang tidak menentu dari segi ekonomi dan kesihatan, permasalahan politik tidak perlu dipanjangkan.
“Pandangan begini jelas menunjukkan kesungguhan beliau menjaga kebajikan rakyat dan sikapnya yang sentiasa meletakkan rakyat di hadapan.
“Perkara ini akan dibincangkan oleh pimpinan Bersatu dan saya harap kita sama-sama tunggu pandangan rasmi parti nanti,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Beliau mengulas usul undi percaya yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO, Datuk Abd. Manaf Hashim pada sidang DUN negeri itu, pagi ini.
Dalam undi belah bahagi itu, seramai 59 ADUN telah membuat undian dengan keputusan 48 tidak bersetuju, 10 bersetuju dan seorang berkecuali.
Dengan keputusan itu, secara automatik Ahmad Faizal hilang kedudukan sebagai Menteri Besar Perak.
Sementara itu, Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika mengulas perkara itu berkata, apakah sokongan yang diberikan ADUN kepada Menteri Besar itu selama ini tidak ikhlas atau pun bersifat sementara?
Beliau mempersoalkan kenapa setiap kali sidang DUN, kalau sebelum ini zaman Pakatan Harapan (PH), tidak timbul perkara itu tetapi apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih, ia ditimbulkan.
“Ini seolah menggambarkan kita tidur sebantal, tapi mimpi lain-lain,” katanya yang juga ADUN Sungai Manik dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perak. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan