HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Disember 2020

Tidak betul Amanah bagi kata dua kepada Anwar

  KHAIRULANUAR YAHAYA

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Amanah baru-baru ini hanya memutuskan Amanah menghargai kesediaan Anwar untuk mengambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku di Dewan Rakyat pada 26 November lepas

“Berita yang dikeluarkan oleh The Malaysian Insight terutama berita Bahasa Inggerisnya bertajuk “Amanah gives Anwar 7 days to oust Muhyiddin, say sources” adalah tidak betul dan berniat untuk melaga-lagakan Amanah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini kerana, bagi Amanah, kedudukan Ketua Pembangkang dan mendapatkan kembali kerajaan dari Perikatan Nasional adalah dua perkara yang berbeza.

“Kedudukan Ketua Pembangkang diputuskan melalui perbincangan antara komponen parti bukannya hak atau tanggungjawab Amanah sahaja,” kata Khalid.

Katanya, Amanah bersetuju untuk berbincang bersama dengan rakan-rakan gabungan apa yang patut dibuat seterusnya selepas peristiwa yang berlaku di Dewan Rakyat.

Khalid menegaskan bukan budaya Amanah untuk memberi kata kepada rakan dalam Pakatan Harapan.

“Oleh itu, adalah tidak benar sama sekali untuk mengatakan Amanah memberikan katadua (ultimatum) kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan.

“Memberi kata dua kepada rakan-rakan gabungan bukan budaya Amanah,” jelas Khalid.

Portal berita itu melaporkan Amanah beri Anwar tujuh hari untuk menjatuhkan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber portal itu, Amanah akan mendesak majlis presiden PH bersidang selepas tamat tempoh tujuh hari itu bagi menentukan hala tuju gabungan itu.

Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar melalui undian suara di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Ahli Parlimen Amanah, Datuk Mahfuz Omar bangun meminta undian dibuat secara belah bahagi namun gagal kerana hanya 12 wakil rakyat menyokong cadangan itu, daripada minimum 15 yang diperlukan.-SM

Tiada ulasan: