HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2021

Apa status video intim dikaitkan dengan Azmin, tanya AMK

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pemuda PKR (AMK) meminta Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menjelaskan status terkini siasatan pihak berkuasa terhadap isu rakaman video intim yang didakwa membabitkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali.

Kenyataan AMK itu dibuat sehari selepas Azmin dilaporkan berkata, "amalan seksual yang tidak bermoral" yang didakwanya dilakukan Anwar Ibrahim menjadi punca dia hilang kepercayaan terhadap presiden PKR itu.

"Saya ingin bertanya kepada ketua polis Negara: apakah status kes itu kini?

"Setahun berlalu, adakah polis masih gagal menemui sebarang bukti untuk mengesahkan identiti pelaku?" soal Naib Ketua AMK Kebangsaan Syed Badli Shah Syed Osman dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azmin dalam pernyataan pembelaan berhubung saman yang difailkan 10 pengundi Gombak memberitahu hilang kepercayaan terhadap Anwar merupakan salah satu sebab dia meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu.

Dalam pembelaan yang difailkan itu Azmin berkata Anwar langsung tidak berkelayakan dan bukan orang yang sesuai untuk memimpin PKR serta menjadi perdana menteri Malaysia.

Syed Badli berkata Azmin tidak layak menuduh orang lain dengan dakwaan tidak bermoral sedangkan dia sendiri dikaitkan dengan pelbagai masalah moral.

"Pengkhianatan terhadap PKR dan pengundi Gombak adalah salah satu bukti yang dia bukan manusia yang bermaruah.

"Malahan sehingga ke hari ini Azmin masih gagal menafikan, bahkan tiada langsung sebarang usaha untuk membersihkan namanya yang terkait dengan skandal video seks luar tabii yang tular sebelum ini," katanya.

Untuk rekod, pada 2019 Azmin dikaitkan dengan skandal seks luar tabii apabila muncul klip video memaparkan dua lelaki dalam sebuah kamar hotel tersebar.

Namun Azmin menafikan tuduhan berkenaan dan menganggap penyebaran itu sebagai usaha menjatuhkan karier politiknya dalam PKR.

Tahun lalu, Abdul Hamid berkata siasatan terhadap video seks tersebut tidak dapat diteruskan di atas faktor teknikal.

Kata Syed Badli Shah walaupun siasatan kes berkenaan tidak dapat diteruskan kerana faktor teknikal, tidak bermakna ia sudah ditutup sebaliknya boleh dibuta semula dengan adanya bukti baru.

Tiada ulasan: