HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2021

Pemuda PAS gesa PN pilih calon PRU15 bersih rasuah

Khairil Nizam Khirudin berkata kerajaan melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 
dan penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM mestilah memfokuskan usaha tegas 
membanteras isu rasuah negara, sama ada bagi kes yang telah, sedang atau bakal 
berlaku, melalui prinsip kedaulatan undang-undang sebenar.

PETALING JAYA: Pemuda PAS mencadangkan gabungan Perikatan Nasional (PN) memilih individu bebas daripada kes salah laku rasuah sebagai calon dalam pilihan raya umum ke15 (PRU15).

Ketuanya Khairil Nizam Khirudin berkata, calon PN perlu dilihat berintegriti serta mudah diterima rakyat.

“Kami mencadangkan parti Perikatan Nasional (PN) hanya menampilkan calon yang bebas daripada kes salah laku atau rasuah di dalam PRU15 akan datang.

“Parti PN mestilah bersedia untuk mengetengahkan calon-calon yang berintegriti, kompeten, bersih dan mesra rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penurunan kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah (CPI) antarabangsa pada 2020 yang dilaporkan baru-baru ini.

Ahli Dewan Negara itu berkata, walaupun skor CPI hanya mengambil kira persepsi, Pemuda PAS menyeru kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil perhatian yang serius dalam agenda mengatasi masalah gejala rasuah di Malaysia.

“Inisiatif Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menyerahkan senarai anggota Kabinet untuk tapisan polis dan SPRM adalah permulaan yang baik ke arah pentadbiran Kerajaan yang berintegriti serta bersih daripada sebarang kes,” katanya.

Katanya, kerajaan melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM mestilah memfokuskan usaha tegas membanteras isu rasuah negara, sama ada bagi kes yang telah, sedang atau bakal berlaku, melalui prinsip kedaulatan undang-undang sebenar.

“Kami mengucapkan terima kasih dan tahniah atas ketegasan Kerajaan yang tidak melepaskan mana-mana individu atau ahli politik yang terlibat di dalam perbicaraan kes mahkamah, serta tidak memberikan kepada mereka tanggungjawab kerajaan sama ada dalam penjawatan politik, agensi Kerajaan atau lantikan GLC,”katanya.

Skor Malaysia dalam CPI Transparency International tahun lalu merosot dua mata, perbezaan ketara berbanding peningkatan yang dilihat selepas PRU14.

Malaysia mendapat 51 daripada 100 dalam laporan terbaru itu. Pada 2019, negara mencapai skor 53, peningkatan ketara daripada 47 sebelum pilihan raya umum 2018 – yang terendah sejak metodologi itu disemak semula pada 2012.

Dengan penurunan skor terbaru itu, Malaysia kini di tangga ke-57 di seluruh dunia, daripada tangga ke-51 sebelum ini, ketinggalan di belakang Arab Saudi, Mauritius dan Itali.

Tiada ulasan: