HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin kekal berada dalam sokongan majoriti rakyat Malaysia sebagaimana
kajian terbaharu yang dikeluarkan oleh badan penyelidikan QGenAnalysts
(QGA), semalam.
Dapatan utama itu menunjukkan, Muhyiddin masih
menjadi pemimpin utama pilihan rakyat meliputi pelbagai kaum, peringkat
umur dan juga kategori pendapatan dari zon Pantai Timur pinggir bandar
yang juga Kawasan campuran.
Ini selari dapatan sama kajian Analisis Persepsi Kepimpinan Semasa Di Malaysia di
kawasan bandar bermajoriti Melayu, di mana Perikatan Nasional diterima
82 peratus rakyat sebagai gabungan paling dipercayai pada Ogos lalu.
Diikuti kajian sama pada September di kawasan luar bandar juga bermajoriti Melayu dengan sokongan lebih tinggi apabila 94 peratus rakyat memihak kepada Perikatan Nasional, malah mahu terus kekal hingga akhir penggal.
Manakala di pinggir bandar berpenduduk seimbang Melayu dan bukan Melayu, kajian sama pada Oktober merekodkan 56.02 peratus rakyat meyakini gabungan Perikatan Nasional berbanding hanya 22.41 peratus kepada Pakatan Harapan.
Terdahulu, QGA telah menunjukkan kecenderungan dan peralihan sokongan rakyat Malaysia kepada agenda baharu untuk Malaysia dicetuskan dari Muafakat Nasional yang dimeterai PAS dan Umno pada kajian diumumkan Februari tahun lalu.
Pilihan ke atas Muhyiddin dalam kajian terkini QGA itu merekodkan jumlah sebanyak 58 peratus, diikuti Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (19%) dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (11%), sementara Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak (6%) dan lain-lain (6%).
Manakala pilihan berdasar kaum, Muhyiddin menjadi pilihan Melayu (63%), Cina (51%) dan India (67%), diikuti Abdul Hadi menjadi pilihan 29 peratus Melayu, manakala Anwar menerima pilihan dari Cina (29%) dan India (24%).
Secara pecahan usia juga kajian mendapati empat pecahan umur iaitu 20 hingga 30 dan 31 hingga 40, serta 41 hingga 50 dan 51 ke atas, semua majoriti memilih Muhyiddin Yassin diikuti Abdul Hadi Awang dan Anwar Ibrahim.
Pilihan rakyat menurut kumpulan pendapatan isi rumah pula merekodkan B40 dan M40 konsisten memilih Muhyiddin diikuti Abdul Hadi dan Anwar, namun T40 memilih Najib selepas Muhyiddin, tetapi masih berjurang jauh.
Kajian QGA ini juga mendapati faktor banteras rasuah dan salah guna kuasa mempengaruhi rakyat dalam memilih sesebuah parti atau gabungan bersama faktor-faktor lain antaranya mengutamakan pemulihan ekonomi negara.
Juga mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan memperjuangkan agama serta mengutamakan keharmonian masyarakat majmuk; baik mengikut pecahan kaum, umur mahupun kumpulan pendapatan isi rumah.
Di bawah kajian dan pecahan sama menunjukkan penolakan ke atas parti atau gabungan politik pula adalah atas faktor disabitkan dengan isu rasuah; mengganggu kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera.
Juga membangkitkan sentimen perkauman; gagal menunaikan manifesto; dan juga tiada hala tuju jelas, sebaliknya ciri pemimpin pilihan adalah mesra rakyat; berintegriti; berpengalaman luas; berwibawa; dan beragama.
Kajian kali ini juga dalam mendapatkan pandangan mengenai logo sesuai digunakan gabungan parti politik menunjukkan 55.95 peratus tidak pasti, 28.61 peratus memilih logo gabungan PN, MN dan PH, manakala 15.44 peratus mahu logo parti masing-masing dikekalkan. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan